Tuesday, 26 April 2016

Drama penjenayah rempuh kedai

SHARE
RANTAU PANJANG – Tindakan lima penjenayah dipercayai warga asing yang cuba melarikan wang milik seorang peniaga di Kampung Tok Sangkut Repek di sini tumpas apabila kenderaan yang dipandu melanggar dan merempuh sebuah kedai di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, lima suspek termasuk salah seorang wanita dipercayai mengekori mangsa yang menjalankan perniagaan jual beli lembu dari sebuah bank di Pasir Mas menggunakan sebuah motosikal dan kereta.

Dua suspek yang menunggang motosikal terbabit kemudiannya bertindak memecah kereta Toyota Harrier dan mengambil sejumlah wang milik mangsa yang berhenti di sebuah kedai makan, kira-kira 10 kilometer dari bank terbabit sebelum melarikan diri.

Walau bagaimanapun, motosikal suspek terbabas di Masjid Tok Sangkut menyebabkan mereka terjatuh di bahu jalan.

Pembongceng berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berkenaan dan meninggalkan rakannya di tempat kejadian sebelum diberkas oleh penduduk di masjid berkenaan.

Malangnya, suspek yang cuba lolos menaiki kereta dipercayai menuju ke Repek juga gagal selepas kereta itu terbabas lalu terbalik sebelum melanggar pintu depan sebuah kedai runcit di Jalan Lubok Jong Pohon Tanjong .

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, pemandu tersepit hampir 15 minit.

"Suspek cedera parah pada bahagian kepala dan tidak sedarkan diri sebelum diselamatkan anggota keselamatan," katanya.

Sementara penduduk sekitar turut membantu menahan suspek dan menyelamatkan pemandu yang tersepit.

Beliau berkata, kelima-lima suspek mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, pihak polis masih menyiasat identiti suspek dan kewarganegaraan kesemua yang terlibat.

Dalam pada itu, Ibrahim menafikan viral yang tersebar membabitkan seorang bayi, dikatakan berada di dalam kereta suspek terbabit.

Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri.

Sementara itu, pemilik kedai berkenaan , Munirah Mohammad, 31, berkata, bunyi kuat dari arah jalan raya berjaya menyelamatkan nyawanya daripada menjadi mangsa kemalangan dihempap suspek.

“Mujurlah emak tak duduk di sini (hadapan pintu kedai), kerana ibu mempunyai masalah pendengaran, jika tidak dia juga mungkin menjadi mangsa kejadian terbabit.

“Selepas kemalangan itu, saya terus panggil ibu dan adik-adik kerana risau kereta mungkin meletup, kerana petrol mengalir masuk ke dalam kedai,” katanya.

Menurutnya, orang ramai mengerumuni kereta itu dan beranggapan mahu menyelamatkan kesemua mangsa di dalam kereta itu.

“Selepas itu barulah saya tahu, rupanya suspek dikaitkan dengan kes curi yang mungkin mencecah ratusan ribu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba I, El Taraff Mohd Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 petang.

Setibanya di tempat kejadian, pihaknya dapati kereta terbabit terbabas dan merempuh tiang papan tanda kereta api sebelum melanggar kedai.

“Kami meneutralkan kawasan yang dipenuhi bahan api kerana berlakunya pertumpahan petrol,” katanya.

-Sinar Harian
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers