Wednesday, 18 January 2017

Dipenjara 15 Tahun Mengaku Bersalah Sebabkan Kematian

SHARE
SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap dua pemuda atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat seorang remaja dua tahun lalu.

Hakim Datuk Lee Heng Cheong menjatuhkan hukuman itu setelah kedua-dua tertuduh, Slyverter James dan Azwan Chendang mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang dibacakan.

Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditahan.

Berdasarkan pertuduhan alternatif, kedua-dua mereka didakwa menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Edmund Antas pada 30 Ogos 2015, jam 9 malam hingga 31 Ogos 2015, jam 6.45 pagi di Jalan Tekam di sini.

Bagi pertuduhan alternatif itu mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, saksi kejadian memberitahu kedua-dua tertuduh memukul mangsa dengan menyepak dan menubuk, selain memukul mangsa menggunakan kayu di kepala.

Mangsa dipukul sehingga terjatuh dan terbaring di atas jalan raya. Kemudian mangsa dicampak oleh kedua-dua tertuduh ke dalam longkang berhampiran.

Bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di kepala selaras dengan kesan pukulan melalui tumbukan, tendangan, pukulan menggunakan objek tumpul seperti kayu atau terjatuh ke atas sesuatu objek keras dan tumpul.

Terdapat juga kecederaan di leher mangsa seperti kesan cekikan serta kesan di tubuh badan seperti terendam di dalam air.

Sylverter diwakili oleh peguam bela Louis Jarau sementara Azwan diwakili oleh Ben Lau.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers