Wednesday, 18 January 2017

Himpunan Balas Terhadap Himpunan RUU355 Diadakan Pada Hari Sama

SHARE
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menggelar diri mereka sebagai BEBAS akan menganjurkan satu perhimpunan balas pada hari dan waktu yang sama PAS mengadakan Himpunan RUU 355.

Pengumuman itu dibuat oleh aktivis Azrul Mohd Khalib, Azira Aziz dan R Suresh dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, perhimpunan mereka itu diadakan bagi membantah rancangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.

“Himpunan ini, yang dinamakan ‘Rakyat Tolak Usul Hadi’ akan berlangsung dari 3-5 petang pada 18 Februari.

“Rakyat Malaysia, tidak kira kaum atau agama, dijemput untuk menyertai himpunan ini bagi membantah usul Hadi, yang merupakan pindaan rang undang-undang yang membuka pintu kepada bertapaknya hudud di negara ini.

“Dakwaan bahawa usul Hadi ini hanya mahu memartabatkan perundangan syariah di Malaysia bersifat licik dan tidak tulus,” kata mereka.

Tegas kenyataan itu lagi, mereka menggesa ahli-ahli Parlimen, tidak kira kepercayaan atau agama, agar berani untuk tidak menyokong usul tersebut.

“Kita bersama mestilah meletakkan pendirian yang jelas dan tegas terhadap usul Hadi yang mampu mengubah watak negara ini yang berlandaskan kesederhanaan, menjadi negara yang berpaksikan kepolisan moral yang melampau, taksub dan tidak toleransi,” kata mereka lagi.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers