Friday, 20 January 2017

Kedah Juara Kencing Manis Negara

SHARE
PADANG TERAP, 20 Jan: Kajian Kementerian Kesihatan pada 2015 menunjukkan Kedah ‘juara’ dua penyakit tidak berjangkit utama iaitu kencing manis dan darah tinggi di negara ini.
Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata kajian itu mendapati 25.4 peratus, atau satu daripada empat rakyat Kedah berumur 18 tahun ke atas, menghidap kencing manis dan ini merupakan kadar tertinggi di Malaysia.
Pada masa sama, hampir 40 peratus rakyat negeri ini, atau dua daripada lima orang, mengalami masalah darah tinggi dan kadar itu juga yang tertinggi di Malaysia, katanya.
“Faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah tabiat pemakanan yang tidak betul,” kata Dr Norhizan kepada pemberita selepas menghadiri program penutup Klinik Penyayang Percuma, di sini hari ini.
Beliau berkata antara tabiat pemakanan yang tidak sihat ialah pengambilan makanan dengan kandungan gula yang tinggi, berminyak dan berkolesterol seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik.
Dr Norhizan juga berpandangan budaya yang dipegang selama ini iaitu mesti menjamah hidangan ketika menghadiri kenduri turut menyumbang kepada masalah itu.
Keadaan diburukkan dengan mentaliti ‘lebih baik tidak tahu daripada tahu’ yang dipegang oleh sesetengah orang bagi mewajarkan keengganan mereka membuat pemeriksaan kesihatan, katanya.
“Mereka tidak mahu risau sekiranya disahkan ada penyakit. Mentaliti ini perlu diubah,” kata beliau.
Dr Norhizan turut mencadangkan peniaga makanan agar menyediakan pilihan hidangan nasi dalam kuantiti yang sedikit dengan harga berbeza.
“Biasanya apabila kita minta nasi, peniaga akan beri nasi yang banyak sehingga penuh satu pinggan, bila kita minta separuh pula harga tetap sama.
“Dengan tabiat kita yang tidak suka membazir, maka rata-rata akan lebih memilih mengambil nasi yang banyak kerana harga tetap sama,” katanya.
–Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

1 comment:

  1. kalaulah kedah sebagai juara, negeri lain pun sama je ikut sama, turuk sungguh kencing manis nih,

    ReplyDelete

Google+ Followers