Wednesday, 18 January 2017

Kematian Adun Sungai Air Tawar Tidak Jejas Majoriti Parti Memerintah Selangor

SHARE
SHAH ALAM, 18 Jan: Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N01 Sungai Air Tawar tidak menjejaskan kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti anggota DUN Selangor, kata Speaker Hannah Yeoh Tseow Suan.

Beliau berkata ia adalah selaras dengan peruntukan Perkara LXX (5) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang menyatakan kekosongan itu hanya perlu diisi sekiranya bilangan parti yang membentuk majoriti DUN Selangor terjejas.

DUN Selangor juga telah memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui surat rasmi hari ini, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kerusi DUN Sungai Air Tawar kosong berikutan kematian penyandangnya Kamarol Zaki Abdul Malik akibat serangan jantung semalam.

Yeoh menjelaskan mengikut peruntukan itu, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi itu berlaku.

“Dengan syarat bahawa jika sesuatu kekosongan luar jangka dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh DUN itu akan terbubar mengikut Fasal (3) maka, kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Speaker memberitahu SPR secara bertulis bahawa kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti semua Adun adalah terjejas oleh kekosongan itu.

“…dan dalam keadaan sedemikian kekosongan ini hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima,” katanya.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi iaitu DAP (14), PKR (13), PAS (13), BN (12), Parti Amanah Negara (2) dan Bebas (2).

Yeoh yang juga ADUN Subang Jaya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarol Zaki dan menyifatkan DUN Selangor kehilangan anggota yang komited dengan amanah yang diberikan rakyat.

Kamarol Zaki, 58, yang merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam dan Ketua UMNO Cawangan Sungai Air Tawar dijumpai dalam keadaan tidak sedar di kediamannya kira-kira 8 pagi semalam, sebelum disahkan meninggal dunia.

Pada pilihan raya umum lepas, Kamarol Zaki yang mewakili BN menewaskan calon PAS, Wahid Rais dengan majoriti 1,416 undi.

— Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers