Wednesday, 18 January 2017

Kes Kevin Morais: Saksi terima hadiah RM10,000 dari tertuduh pertama

SHARE
KUALA LUMPUR, 17 Jan: Bekas tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 daripada pakar patalogi Kolonel Dr K. Kunaseegaran, iaitu tertuduh pertama dalam kes itu.

G.Gunasekaran, 49, berkata Dr Kunaseegaran memberikannya wang tunai itu sebagai hadiah hari jadinya pada 8 Ogos tahun lepas.

“Ya, dia beri saya duit RM10,000 sempena hari jadi saya. Saya guna duit itu untuk buat ubahsuai kedai makan saya di Jalan USJ1/6 Subang Jaya,” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Dr Kunaseegaran.

Gunasekaran yang memakai kemeja dan berkot berkata demikian dalam prosiding perbicaraan hari ke-38 kes pembunuhan itu.

Gunasekaran yang merupakan saksi pendakwaan ke-54 dipanggil menjadi saksi selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan Kevin Morais.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun berkuatkuasa dari tarikh ditangkap pada 15 Sept 2015 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 20 Dis 2016 dan telah dibebaskan pada 15 Jan lalu setelah selesai menjalani hukuman itu.

Terdahulu lelaki itu menjelaskan hubungannya dengan Dr Kunaseegaran sangat rapat kerana semasa ketiadaan S. Ravi Chandaran iaitu tertuduh keenam, Dr Kunaseegaran akan menghubunginya dan mereka berdua sentiasa keluar bersama untuk makan dan minum.

Jelasnya kali pertama dia bertemu Dr Kunaseegaran kira-kira empat atau lima bulan sebelum kejadian pembunuhan itu, selepas diperkenalkan Ravi Chandaran yang merupakan sahabat yang dikenalinya lebih 20 tahun lalu.

Kepada soalan Sivananthan bilakah kali pertama dia bertemu empat lagi tertuduh iaitu R.Dinishwaran, A.K. Thinesh Kumar, M.Vishwanath dan S. Nimalan, saksi itu berkata pada 3 Sept 2015 di Restoran Syed Bistro, Petaling Jaya.

Katanya selain di restoran tersebut dia juga ada beberapa kali menemui keempat-empat tertuduh itu di beberapa tempat lain.

Bagaimanapun ketika ditanya adakah dia turut menemui Dr Kunaseegaran dalam kesemua perjumpaan dengan empat tertuduh itu, Gunasekaran berkata “tidak”.

Menjawab soalan Sivananthan adakah Dr Kunaseegaran pernah menyatakan dia akan melakukan sesuatu terhadap Kevin Morais selepas beberapa kali meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mendiang yang menambah pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Shah Alam sebelum ini, saksi itu berkata “tidak pernah”.

Lima lelaki – Dinishwaran, 25; Thinesh Kumar, 24; Vishwanath, 27; Nimalan, 24; dan Ravi Chandaran, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Dr Kunaseegaran, 54, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.The Malaysian Times
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers