Friday, 20 January 2017

PAS Terus Berusaha Untuk Adakan Himpunan RUU355 di Dataran Merdeka

SHARE
KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS tetap dengan keputusan untuk mengadakan Himpunan RUU 355 di Dataran Merdeka pada 18 Febuari nanti.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menolak permohonan mereka untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, tetapi beliau bertegas ingin mengadakan perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka kerana beliau percaya ia adalah tempat yang terbaik untuk mengadakan himpunan sedemikian.

“Himpunan RUU355 telah menerima surat dari DBKL bertarikh 13hb Januari 2017 yang menolak permohonan kami bagi mengadakan Himpunan RUU355 di Dataran Merdeka.

“Dalam penolakannya, DBKL langsung tidak memberikan sebarang hujah mengapa permohonan kami ditolak.

“Pihak kami akan membuat rayuan bagi meneruskan Himpunan RUU355 di Dataran Merdeka.

“Himpunan ini perlu diadakan di Dataran Merdeka kerana ia satu himpunan sejarah rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian dalam kehidupan berpaksi kepada sikap hormat menghormati antara kaum dan agama bagi mengamalkan tuntutan agama setiap penganutnya.

“Sekretariat memberi jaminan bahawa himpunan ini akan menyerlahkan bentuk himpunan aman sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Tuan Ibrahim lagi, PAS telah menyediakan 2,000 petugas dan sukarelawan bagi memastikan himpunan ini berjalan dengan lancar dan pada masa yang sama akan menggesa DBKL supaya menimbang semula permohonan mereka untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka.

“Pihak kami menggesa agar DBKL dapat menimbang semula permohonan kami, dan pihak kami akan memastikan perjalanan himpunan akan berjalan dengan penuh tertib dan tenang,” ujarnya.

Pada 7 Januari lalu, Tuan Ibrahim selaku Pengerusi Himpunan RUU 355 mengumumkan yang partinya itu akan mengadakan satu himpunan besar-besaran di Dataran Merdeka pada 18 Febuari nanti.

Kata Tuan Ibrahim, platform itu akan diguna untuk memperjelaskan kewajaran usul Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawakan oleh Hadi berkaitan pindaan akta itu dan mengapa ia mesti disokong oleh semua umat Islam, khususnya anggota Parlimen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka sebaliknya beliau menasihatkan parti itu mengadakan perhimpunan di Stadium Titiwangsa.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers