Thursday, 26 January 2017

Pendedahan salah laku dalam TH terbukti bukan fitnah – Rafizi

SHARE
KUALA LUMPUR, 26 Jan: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyelar menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya berhenti menuduh beliau memfitnah Tabung Haji (TH).

Rafizi berkata demikian ekoran daripada tangkapan yang dibuat terhadap Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE), Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Latfi, yang juga merupakan sebuah anak syarikat Tabung Haji yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan lebih RM2.5 juta.

“Pendakwaan ke atas Nor Badli hari ini membuktikan bahawa pendedahan saya mengenai penyelewengan dan salah tadbir pelaburan Tabung Haji ada asasnya dan bukannya fitnah seperti yang menteri-menteri Umno mahu rakyat percaya.

“Malah, sejak setahun lalu saya juga telah buktikan bahawa penyelewengan dan ketirisan bukan sahaja berlaku di THHE, tetapi melibatkan banyak pelaburan besar Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat tertentu (yang diceburi oleh Tabung Haji sebagai pelaburan strategik, bukannya pelaburan biasa) yang lebih banyak rugi dari untung.

“Oleh sebab itulah saya secara berterusan menyuarakan keperluan merombak pengurusan fungsi pelaburan dan pembangunan perniagaan (“business development and investment”) di Tabung Haji kerana ternyata pelbagai bidang perniagaan baru yang diceburi oleh Tabung Haji lebih banyak merugikan dari menguntungkan,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Ahli Parlimen Pandan itu lagi, sementara Nor Badli berdepan dengan tindakan undang-undang, pimpinan dan pengurusan kanan Tabung Haji perlu menjawab siapa yang bertanggungjawab menyemak dan meluluskan keputusan untuk melabur di dalam syarikat-syarikat bermasalah seperti TH Heavy Engineering (dulunya Ramunia Holdings Berhad) sehingga rugi beratus juta wang pendeposit.

“Saya menyeru supaya menteri bertangungjawab dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim berdepan dengan rakyat dengan menjawab soalan siapa yang bertanggungjawab membawa cadangan untuk melabur di dalam syarikat-syarikat ini atau sektor tertentu (yang Tabung Haji tidak ada kepakaran dan pengetahuan perniagaan yang kukuh) sehingga menyebabkan kerugian ratusan juta?

“Sudahkah individu-individu ini dikenalpasti dan disiasat di peringkat pengurusan kanan Tabung Haji? Sudahkah tindakan diambil terhadap mereka di peringkat dalaman Tabung Haji? Sudahkah laporan kepada pihak berkuasa dibuat terhadap mereka?

“Apa bentuk rombakan yang telah dilaksanakan untuk memastikan fungsi pembangunan perniagaan dan pelaburan strategik (“business development and strategic investment”) tidak mengulangi kesilapan lalu?

“Malangnya, saya percaya selagi Lembaga Pengarah Tabung Haji dipenuhi dengan lantikan politik di kalangan orang kuat Umno, langkah-langkah (1) hingga (3) di atas tidak akan dibuat,” ujarnya.

Dakwanya lagi, Tabung Haji selepas ini akan terus berdepan dengan risiko kerugian yang mungkin akan keluar satu persatu.

Pagi tadi, dilaporkan Nor Badli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan lebih RM2.5 juta.

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd, Tingkat 23, Tower B, Menara UOA, Bangsar, Nombor 5, Jalan Bangsar Utama 1, di sini, antara Jun dan Oktober 2013.www.themalaysiantimes.com.my/pendedahan-salah-laku-dalam-th-terbukti-bukan-fitnah-rafizi/
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers