Wednesday, 18 January 2017

Polis Temui Bahan Letupan Bawah Pokok Manggis

SHARE
IPOH, 18 Jan: Polis hari ini mendedahkan kejayaan membongkar tempat penyimpanan bahan letupan yang ditanam di bawah pokok manggis di belakang sebuah rumah di Kampung Air Kuning, Jalan Changkat Jering dekat Taiping bulan lepas.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata dalam serbuan pada 18 Dis lalu, pihaknya menemukan pelbagai bahan letupan antaranya 15 batang emulex dan enam butir peletus elektrik.

Katanya turut dijumpai adalah satu tong mengandungi cecair warna gelap, satu kotak baja tonik tanaman, setengah guni agrobridge, sebungkus nat dan tiga tong bahan kimia.

“Dalam serbuan itu polis turut menahan seorang wanita berumur 38 tahun dari Kuala Krai, tetapi telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tujuh hari direman,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Hasnan hasil siasatan mendapati bahan letupan itu milik suami wanita terbabit yang kini ditahan di penjara bersangkut kes dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

“Polis belum memperoleh maklumat sama ada bahan letupan itu digunakan untuk ancaman keganasan atau sebaliknya, namun tidak menolak kemungkinan ia boleh digunakan bagi melindungi sindiket dadah dan kegiatan jenayah lain,” katanya.

Katanya polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Hasnan turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sehingga kes itu berjaya diselesaikan.

Terdahulu, Hasnan menghadiri majlis pemakaian pangkat Deputi Superitendan Polis (DSP) kepada Superitendan (Supt) dan Asisten Superitendan Polis (ASP) kepada DSP di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Dalam ucapannya Hasnan berkata kadar indeks jenayah di Perak sepanjang tahun lepas adalah 5,846 kes berbanding 6,228 pada 2015, sementara penyelesaian kes bagi tahun lepas berjumlah 3,411 kes, manakala kadar pertuduhan 4,053 kes.

Mengenai operasi sempena Tahun Baru Cina, Hasnan berkata Polis Perak akan melancarkan Op Limau bermula 1 Jan hingga 12 Feb ini bagi mencegah jenayah pada musim perayaan.

“Selain itu, polis Perak akan mengadakan Op Selamat bermula 21 Jan hingga 5 Feb ini bagi memastikan orang ramai pulang ke kampung halaman dengan selamat,” katanya.

— Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers