Friday, 27 January 2017

Serius laksanakan projek

SHARE
Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua kementerian dan agensi pe­laksana supaya tidak menjadikan alasan kekangan bajet sebagai penyebab tidak dapat melaksanakan program atau projek yang diharapkan oleh rakyat dan beliau mahu perkara itu diberi perhatian yang serius.
Perdana Menteri berkata, semua kementerian dan agensi yang bertanggungjawab mengu­ruskan kewangan negara juga perlu memudahkan cara untuk memastikan semua kementerian dan agensi pelaksana tidak menghadapi kekangan tersebut.
“Alasan duit tidak sampai lagi atau bajet tidak cukup selalu dijadikan luahan ataupun alasan, sama ada tepat atau tidak saya harap kita semua beri perhatian yang serius.

“Saya telah isytiharkan 2017 ini fokus untuk penyampaian, bermakna penyampaian adalah keutamaan kita,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Sementara itu, Najib berkata, projek-projek infrastruktur berimpak tinggi yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan bukanlah bertujuan menunjukkan kemegahan sebaliknya untuk merangsang ekonomi demi kepentingan rakyat dan negara.
Antara projek itu menurut Perdana Menteri adalah Lebuhraya Pan Borneo, Rapid Pengerang di Johor, Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
Tegasnya, projek seumpama itu membantu mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta memberi peluang kontrak di peringkat tahap kedua terutama untuk syarikat-syarikat tempatan termasuk kontraktor kelas F.
Jelas beliau, ia sekali gus akan memberi kesan langsung yang lebih baik ke arah peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Misalnya apabila projek ECRL ini siap nanti, ia dijangka memberi kadar pertumbuhan di ketiga-tiga negeri Pantai Timur sebanyak 1.5 peratus.
“Sebab itu ada kajian menyatakan sebanyak dua peratus pe­ningkatan boleh dicapai kalau sistem jalan raya baik dan efisien, kalau kita tersekat-sekat di atas jalan raya kerana kesesakan lalu lintas ia akan memberi kesan kepada KDNK negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menjelaskan, kesemua projek itu perlu dipastikan dilaksana dengan cekap, bertunjangkan komitmen kepada tadbir urus yang baik melalui prinsip impak tinggi untuk kumpulan sasar.-Utusan Malaysia
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers