Thursday, 26 January 2017

Sindikit Penipuan Peminta Sedekah Sukar Dikesan

SHARE
SEJAK kebelakangan ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai berita yang melibatkan sindiket penipuan.

Sindiket ini pula muncul dengan pelbagai kaedah dan penipuan itu pula bergantung kepada sifat mangsa itu sendiri.

Bagi orang awam yang mungkin sedang gelisah dengan kos sara hidup, mereka dihidangkan dengan skim cepat kaya yang dipakejkan bersama pelbagai nama yang kelihatan sangat profesional.

Bagi mereka yang mengejar pangkat, ada pula sindiket yang menawarkan darjah kebesaran tertentu yang kononnya dikurniakan oleh pembesar sesebuah negeri.

Secara logiknya, agak sukar untuk mempercayai bahawa ada orang yang boleh memberikan kekayaan kepada orang lain dengan mudah atau menyampaikan darjah melalui jalan pintas.

Namun, pasti ada sahaja mangsa yang terpedaya.

Mengapa manusia tidak mudah mengenal mereka yang menipu atau memanipulasi sedang dilakukan?

Sebenarnya, dalam dunia realiti sukar untuk mengenal mereka yang cuba memperdaya orang lain.

Walaupun beberapa prinsip psikologi setakat ini cuba menunjukkan bagaimana individu yang menipu atau memperdaya orang lain.

Secara umumnya, mereka bercakap dengan lebih cepat, tidak dapat memberikan penjelasan lengkap dan cuba mengurangkan gerakan tangan dan jari tetapi tidak semua orang awam mampu mengesannya.

Dimanipulasi

Malah, bagi yang terlibat dengan sindiket ini, mereka mungkin tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda itu.

Ini kerana mereka mungkin dimanipulasi menjadi orang tengah kepada sindiket yang dibekalkan maklumat-maklumat oleh pihak lain.

Berdasarkan maklumat yang dimiliki, mereka berasakan bahawa ia adalah maklumat yang benar tanpa mengetahui ia merupakan satu bentuk penipuan.

Berpandukan maklumat itu, orang tengah tersebut kemudiannya akan mempromosikan pakej skim cepat kaya atau pengurniaan darjat tanpa mengetahui bahawa maklumat yang diberikan tadi sekadar rekaan.

Dalam kes seumpama ini, mereka berasakan bahawa berada pada pihak yang benar, tanpa menyedari mereka sedang membohongi orang lain.

Ia secara langsung menjadikan mereka tidak memunculkan sebarang tanda sebagai seorang pembohong.

Apabila kita sedang duduk di restoran misalnya, kita selalu didatangi oleh kanak-kanak atau remaja yang menjual produk tertentu sebagai sebahagian sumbangan derma membantu anak-anak yatim atau pelajar sekolah agama.

Mereka mungkin tidak menampilkan sebarang riak wajah tertentu yang menunjukkan sebarang kesalahan.

Ini kerana mereka mungkin berasakan tindakan itu adalah betul. Ia mungkin berbeza jika ketua mereka sendiri yang menjualkan barangan tadi.

Hal ini kerana ketua mereka mungkin tahu perkara itu adalah sesuatu yang tidak betul.

Dalam banyak kes penipuan yang berlaku, khususnya oleh kumpulan sindiket, orang awam sukar mengesan penipuan pelaku tadi.

Ini kerana banyak daripada pakej yang ditawarkan itu dilakukan oleh pihak lain dan bukannya ketua sindiket itu sendiri.

Sebagai orang awam, kita mungkin tidak mampu mengesan clue (petunjuk) pembohongan yang berlaku dalam semua keadaan.

Kita mungkin boleh menghindar daripada terpedaya dengan berpandukan kepada logik akal.

Cerita dongeng

Misalnya, adakah mustahil seorang pelajar tahfiz atau anak yatim masih lagi berkeliaran di meja makan menjualkan produk mereka pada lewat pagi, sedangkan mereka sepatutnya berada di asrama.

Sekiranya mereka begitu tekun memasarkan produk mereka, bilakah mereka menghafal al-Quran?

Begitu juga dengan cerita dongeng kita akan menjadi cepat kaya atau mendapat imbuhan tambahan berjumlah ribuan ringgit setiap minggu hanya dengan sekadar mencari ahli baharu.

Logiknya apakah bentuk perniagaan atau pekerjaan dalam dunia ini yang memberikan manusia pendapatan yang sebegitu rupa?

Jika sifat perniagaan atau pekerjaan itu dapat diterangkan dengan jelas sekalipun, ia tidak mampu menawarkan pendapatan yang sebegitu banyak.

Mengapa pula kita ditawarkan dengan janji kekayaan bagi hal yang tidak pernah wujud secara realiti?

Pada akhirnya, banyak sindiket wujud dengan pelbagai cara. Sama ada kita terpedaya atau tidak, ia bukan pada kehebatan sindiket itu sendiri.

Ia bergantung kepada sejauh mana kita menggunakan akal yang logik untuk menilai situasi. Itulah mekanisme psikologi terbaik menghindar musibah.

-Kosmo
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers