Thursday, 9 February 2017

Baru NAK Siasat Setelah Hampir Setahun Mohon Bantuan Baitulmal

SHARE
PONTIAN - “Apa yang keluar di media sosial itu betul, buat apa saya nak bohong,” kata Kamisah Othman, 30, ibu tunggal di Kampung Nelayan Benut.

Kisah Kamisah bersama empat anaknya yang tinggal dalam keadaan serba daif tanpa bekalan elektrik, tular di laman sosial sejak seminggu lalu.

Menurut Kamisah, selepas bercerai setahun lalu, dia seorang diri memikul tanggungjawab membesarkan empat anaknya iaitu Mohd Adib Aiman, 13, Nur Aina Syahira, 10, Mohd Afif Izudin, 5, dan Nur Syuhadah, 3.


“Bukan saya mahu raih simpati, tapi saya kasihankan anak-anak terpaksa hidup dalam rumah hampir roboh tanpa bekalan elektrik sejak setahun lalu.

“Tanpa sebarang bantuan, saya dan anak-anak cuma harapkan belas kasihan dua kakak saya (Kasuma, 35, dan Siti Rohani, 47) yang tinggal berdekatan. Merekalah yang akan beri ikan sebagai lauk kami anak beranak,” katanya ditemui, kelmarin.

Kamisah berkata, keadaan rumah pusaka yang didiami sangat teruk sehingga lantai di bahagian dapur sudah tidak boleh dipijak.

“Lantai dapur dah reput, saya takut anak-anak jatuh.

“Saya memang tak ada duit nak baiki sendiri. Nak minta tolong kakak, mereka juga orang susah,” katanya.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana masih mempunyai tempat untuk berteduh dan membesarkan anak-anaknya.

“Anak-anak tak pernah merungut. Mereka pun dah biasa guna lilin waktu malam untuk ulang kaji pelajaran.

“Saya cuma berharap anak-anak tak lalui kesusahan yang pernah saya alami, biarlah mereka dapat rasa sikit keselesaan,” katanya.

Menurut Kamisah, dia ada membuat permohonan bantuan ibu tunggal melalui Baitulmal pada Ogos tahun lalu, namun sehingga kini masih tiada jawapan.

Sementara itu, pihak Baitulmal memaklumkan, siasatan kelayakan bantuan akan dilakukan dalam masa terdekat.-Sinar Harian
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers