Tuesday, 14 February 2017

Isteri Hampir Pengsan Suami Terlibat Kejadian Bot Meletup

SHARE
LUMUT, Feb 14 Seorang isteri hampir pengsan selepas menerima berita mengenai suaminya antara lapan anggota polis yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian letupan bot di Jeti Marin Kampung Acheh, di Manjung, semalam.

Idawati Awang, 35, isteri kepada anggota Komando 69, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh itu berkata beliau menerima panggilan kira-kira 10.15 pagi daripada isteri rakan suaminya sebelum bergegas ke Hospital Seri Manjung (HSM).

“Saya sedang mengajar ketika mendapat berita itu. Saya rasa lutut saya longgar dan hampir pengsan apabila rakan menelefon dan memberitahu keadaan suami saya sebelum menyuruh saya banyak bersabar.

“Saya kemudian cuba menelefon suami saya namun gagal. Saya menjadi buntu dan bernasib baik pihak kolej sanggup menghantar saya ke HSM untuk melihat keadaan suami saya secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita di HSM di sini hari ini.

Idawati merupakan pensyarah di sebuah kolej di Ipoh berkata bagaimanapun dia bersyukur kerana suaminya selamat biarpun mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kirinya dalam kejadian itu.

Menurut Idawati, suaminya yang telah berkhidmat dalam unit itu sejak tahun 2000 selalu memesan untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang keadaan dan kemungkinan, kerana risiko tugasannya yang tinggi.

“Sejak berkahwin lagi saya telah diminta untuk bersedia kerana dia perlu berdepan dengan pelbagai situasi berbahaya termasuk pernah terlibat dengan operasi semasa peristiwa di Lahad Datu pada tahun 2013,” katanya. – Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers