Friday, 18 August 2017

Kena Samun Ketika Sidai Kain

SHARE
Rosiah melakonkan kembali bagaimana dia diragut dua lelaki di belakang rumahnya di Pangsapuri Taman Puchong Permai, kelmarin.
PUCHONG – Seorang suri rumah trauma diragut dua penyamun ketika leka menyidai baju di ampaian terletak berhampiran rumahnya di Blok A, Pangsapuri Taman Puchong Permai di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi, mangsa, Rosiah Samad, 53, mendakwa terkejut apabila dua lelaki terbabit tiba-tiba memberhentikan motosikal di belakangnya.

Dia yang berpaling ke belakang terperanjat apabila melihat seorang daripada lelaki turun dari motosikal berwarna biru dan terus meluru ke arahnya.

“Penyamun tu terus rentap gelang tangan dipakai...masa tu makcik tergamam seketika, lepas beberapa saat baru makcik teringat nak jerit minta tolong.

“Bila dengar saya jerit, penyamun tu berhenti kejap tapi bila dia toleh kiri kanan tiada siapa yang datang, dia usaha rentap gelang sampai terbuka.

“Akibat rentapan kuat ni, bahu makcik sakit sangat...sekarang bila dengar bunyi enjin motor saja makcik takut,” katanya.

Kedua-dua lelaki terbabit yang tidak memakai topi keledar berkulit sawo matang, seorang bertubuh besar dan hanya memakai singlet manakala seorang lagi bertubuh kurus dan memakai baju kemeja bercorak kotak.

“Laluan belakang rumah makcik ni memang biasa orang lalu-lalang, jadi tak syak apa-apa, tak sangka pula jadi sasaran penjenayah.

“Akibat kejadian ni makcik rugi dalam RM7,000,” katanya.

Rosiah berkata, dia terus membuat laporan sejurus selepas kejadian di Balai Polis Bukit Puchong.

“Makcik harap wanita terutama suri rumah kena berhati-hati, sebab kejadian macam ni boleh berlaku pada sesiapa saja. Kalau boleh jangan pakai barang kemas, bahayalah,” katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers