Monday, 4 September 2017

Semakin Hari Semakin Ramai Umat Islam Myanmar Disembelih

Semakin Hari Semakin Ramai Umat Islam Myanmar Disembelih

Rakhine, Myanmar: Kekejaman berterusan terhadap orang awam Rohingya semakin memuncak menurut laporan daripada saksi-saksi yang melaporkan bahawa kanak-kanak dipenggal dan penduduk Muslim dibakar hidup-hidup.

Menurut The Telegraph, keganasan tersebut sudah berlarutan selama seminggu seiring dengan kenyataan daripada pihak kerajaan yang bersifat kebencian.

Hal ini menyebabkan duta United Kingdom membawa perkara ini kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggesa ketua de facto kerajaan Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk memperbetulkan keadaan.

Penerima anugerah Nobel Keamanan tersebut berdepan dengan bidasan pihak antarabangsa kerana dilihat gagal menyelesaikan penganiayaan yang berterusan ke atas golongan minoriti Muslim.

Selain itu, Aung San Suu Kyi juga dikecam atas kenyataan dalam talian “komiti informasinya” yang didakwa menyebabkan masyarakat umum semakin membenci dan memusuhi populasi etnik Rohingya dan pekerja bantuan di negara itu.

Jumaat lepas, kumpulan pembela hak asasi yang berpangkalan di Bangkok, Fortify Rights telah menerbitkan laporan-laporan mengerikan daripada etnik Rohingya yang berjaya menyelamatkan diri dari perkampungan Chut Pyin di Rathedaung.

Menurut saksi, lebih kurang 200 penduduk yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibunuh oleh anggota keselamatan Myanmar dan penduduk tempatan Rakhine.

Tentera-tentera dilaporkan telah menahan sekumpulan lelaki Rohingya dan membawa mereka masuk ke dalam pondok buluh berhampiran dan kemudiannya membakar pondok-pondok buluh berserta dengan tahanan-tahanan tersebut. Jurucakap kerajaan Myanmar tidak dapat dihubungi untuk komen semalam. Sebelum ini, jurucakap tersebut memberitahu The Telegraph bahawa komiti informasi sebenarnya mewakili pandangan kerajaan secara keseluruhan, bukan pandangan Aung San Suu Kyi semata-mata.

Dia (jurucakap) juga mengatakan bahawa kerajaan sedar akan keperluan untuk melindungi “Muslim yang tidak bersalah” sewaktu kerajaan berusaha menumpaskan pejuang kebebasan. Pengarah Burma Campaign UK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di London, Mark Farmaner mengalu-alukan perbincangan Majlis Keselamatan namun menggesa Kerajaan British untuk pergi meningkatkan usaha dalam bantahan mereka terhadap kejadian yang berlaku di Rakhine.

“Menyokong Aung San Suu Kyi dan pembaharuan di Myanmar tidak bermaksud kerajaan British berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa apabila ratusan Muslim Rohingya disembelih oleh tentera-tentera Myanmar.”
Pilihanraya Presiden Singapura Ditetapkan Pada 23 September

Pilihanraya Presiden Singapura Ditetapkan Pada 23 September

SINGAPURA 4 September – TEPAT jam 5.00 petang tadi, Jabatan Pilihanraya Presiden (ELD) Singapura menutup permohonan bagi Sijil Kelayakan dan Sijil Komuniti bagi menghadapi pilihanraya memilih presiden republik itu.

ELD mendedahkan butiran tersebut dalam satu siaran media petang tadi.

KESEMUANYA terdapat lima permohonan yang diterima ELD dan tiga darinya memohon bagi Sijil Masyarakat Melayu.

Menurut ELD lagi, satu permohonan memohon bagi Sijil Masyarakat Cina dan satu lagi tidak menganggap diri pemohon sebagai anggota masyarakat Melayu, Cina, India atau minoriti lain.

Seorang daripadanya memohon bagi Sijil Masyarakat Cina; dan satu daripadanya mengisytiharkan bahawa beliau tidak menganggap dirinya sebagai anggota masyarakat Cina, masyarakat Melayu, ataupun daripada kaum India atau kaum minoriti lain.

Pilihanraya Presiden 2017 merupakan pilihanraya pertama memilih Presiden Singapura dari kalangan masyarakat Melayu sejak 46 tahun lalu, selepas Yusof Ishak menjadi Presiden pertama republik tersebut.

Minggu lepas ELD mengeluarkan Writ Pilihanraya Presiden bagi tahun 2017.

Pilihanraya Presiden Singapura bakal diadakan pada 23 September ini setelah tempoh perkhidmatan Presiden Tony Tan Keng Yam tamat pada 31 Ogos lalu.

Tarikh penamaan calon telah ditetapkan pada 13 September 2017 di auditorium Persatuan Rakyat, 9 King George’s Avenue, Singapura.

SEKIRANYA terdapat lebih dari seorang calon, maka tarikh 23 September 2017 akan diisytiharkan sebagai hari mengundi.

Berdasarkan kepada perkembangan mutakhir, terdapat tiga calon berpotensi yang melahirkan minat untuk bertanding, iaitu dua darinya merupakan ahli perniagaan dan seorang bekas Speaker Parlimen Halimah Yacob.

Kedua-dua ahli perniagaan tersebut adalah Mohamed Salleh Marican, Farid Khan Kaim Khan sementara Halimah Yacob pula merupakan bekas Speaker yang telah pun membentuk pasukan pilihanrayanya sendiri sejak dari awal lagi.

Ketua Eksekutif Second Chance Properties, Mohamed Salleh 67, mengemukakan permohonan bagi Sijil Kelayakan dan Sijil Komuniti di Jabatan Pilihanraya pada 23 Ogos, sementara Farid Khan 62, Pengerusi Pembekal Perkhidmatan Marin Bourbon Offshore Asia Pacific, berbuat demikian pada 24 Ogos.

Setiap calon mesti mengemukakan kertas pencalonan disertakan dengan Sijil Kelayakan; Sijil Komuniti yang mengesahkan mereka tergolong dalam masyarakat Melayu; dan sijil Derma Politik, kata jabatan itu.
Maut Elak Babi

Maut Elak Babi

PERMAISURI: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta di Kilometer 12, Jalan Chalok-Telaga Papan di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 11 malam itu meragut nyawa, Mohamad Sulaiman Salleh, 19, yang dipercayai cuba mengelak daripada melanggar seekor babi melintas.

Mangsa dikatakan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah Perodua Axia, menyebabkannya cedera parah di kepala.

Rakannya, Muhammad Al-Qusyairi Awang Mat, 17, yang menunggang motosikal berasingan, patah tangan dan kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata siasatan awal mendapati dua motosikal dari arah Telaga Papan menghala ke Chalok dilapor memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

"Pertembungan menyebabkan mangsa yang menunggang seorang diri tercampak ke atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, berdasarkan keterangan Muhammad Al-Qusyairi, mereka cuba mengelak daripada terlanggar babi yang melintas sebelum memasuki laluan bertentangan.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan susulan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pelantikan Mohamad Fuzi Sebagai KPN Keputusan Kerajaan Melalui SPP - TPM

Pelantikan Mohamad Fuzi Sebagai KPN Keputusan Kerajaan Melalui SPP - TPM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pelantikan Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, 58, adalah keputusan kerajaan yang dibuat menerusi Suruhanjaya Pasukan Polis.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata suruhanjaya itu juga bersetuju mengekalkan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

"Jawatan (Noor Rashid) bagaimanapun dinaikkan ke Turus III dan Suruhanjaya turut memutuskan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baharu," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Mohamad Fuzi menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib hari ini.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Khalid adalah seorang yang "luar biasa" kerana sifat kesetiaannya yang tidak pernah luntur walau dalam apa jua situasi.

Ahmad Zahid berkata bekas Ketua Polis Negara itu juga telah berjaya menyelesaikan segala permasalahan dengan amalan profesionalisme sepanjang menjalankan tanggungjawabnya.

"Apabila saya mengarahkan Ops Cantas Khas dibuat sewaktu mula-mula saya diberi tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri, ia dijayakan tanpa persoalan oleh beliau (Khalid) sendiri."

"Saya telah arahkan tiga pasukan elit diwujudkan iaitu Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gangsterisme (STAGG) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang mana arahan datang daripada saya kepada Tan Sri Khalid dan ia dilaksanakan bagi menangani semua permasalahan berbeza terus ke sasaran dan tidak melalui hierarki," katanya.

Ahmad Zahid berkata penubuhan ketiga-tiga pasukan elit itu telah menurunkan indeks kadar jenayah kepada 47 peratus secara metodologi konvensional atau 100 peratus jika menggunakan piawaian antarabangsa berdasarkan setiap 100,000 penduduk.

"Saya akan bertindak secara profesional iaitu soal dasar saya akan tentukan tetapi soal operasi saya tidak akan campur tangan dan saya beri kuasa sepenuhnya kepada Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis kerana ia menjadi amalan buat saya," katanya. Timbalan Perdana Menteri turut meluahkan harapan kepimpinan baharu yang diterajui Mohamad Fuzi dapat menaikkan prestasi dan kecemerlangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke tahap lebih tinggi.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan majlis menandatangani dokumen dan penyerahan tugas jawatan nombor satu dalam PDRM itu antara Mohamad Fuzi dan Khalid yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara selama empat tahun sejak 2013.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat.

Mohamad Fuzi menyertai pasukan beruniform itu pada 8 Jan 1984 sebagai Kadet ASP di Pulapol.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah Inteligen Politik E4 Cawangan Khas Bukit Aman, Penolong Pengarah Cawangan Khas (Bahagian Politik dan Risikan) yang memangku pangkat SAC I pada 2006 dan Pengarah Cawangan Khas pada Julai 2015.

Beliau juga pernah memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara selama dua bulan pada 2014.

-- BERNAMA
Malaysia,Indonesia,Filipina Akan Berpakat Hapus Pengganas

Malaysia,Indonesia,Filipina Akan Berpakat Hapus Pengganas

DAVAO CITY: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, akan bertemu dengan pemimpin Malaysia dan Indonesia bagi memformalkan perincian pakatan antikeganasan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Dalam temu bual bersama media lewat tengah malam Ahad, Duterte berkata, beliau, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sudah bersetuju untuk bertemu di kawasan berhampiran Filipina seperti Sabah dan Jakarta.

"Kami bersetuju untuk berbincang, ketiga-tiga kami. So naghintay lang kami ng timing (Kami cuma menunggu masa yang sesuai)," katanya dalam temu bual dengan pemberita di luar sambutan hari lahir Anggota Perwakilan Davao City, Karlo Nograles.

Duterte berkata, kemungkinan besar pakatan itu membabitkan penubuhan pasukan petugas khas bersama untuk menjejaki anggota ISIS.

"Saya akan buka sempadan negara saya kepada pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia. Saya akan laksanakan... mereka akan diberi akses," katanya dipetik berkata oleh PNA.

Menurut Presiden itu, mesyuarat sudah diusahakan dan hanya perlu diformalkan.

"Kita perlu berjumpa secara berdepan dan bersetuju dengan agenda perbincangan itu.

"Saya cuma boleh berada di sana mungkin untuk sehari dua. Buat masa sekarang tidak boleh, saya tidak ada masa sekarang kerana saya perlu tangani masalah yang serius di sini," katanya.

Duterte berkata, beliau juga perlu melawat Marawi lebih kerap sehingga krisis berakhir.

Katanya beliau turut melihat situasi di bahagian lain di Mindanao seperti Buldon dan Maguindanao, yang berdepan pertempuran setiap hari.

"Saya tidak tahu bagaimana perkara ini berlaku tetapi saya mahu mengekang semua ini menjelang hujung tahun," katanya.

Semasa ulang tahun ke-11 Eastern Mindanao Command di Davao City pada Jumaat lalu, Duterte berkata, beliau menimbang untuk menarik balik undang-undang tentera.

"Tengok dulu. Jika ia dilakukan untuk kepentingan negara, saya akan tarik balik. Akan tetapi jika tidak, kita akan teruskan dengan pemerintahan tentera," katanya.

Duterte bagaimanapun memberi jaminan, beliau akan mengusahakan proses damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro serta Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro.

"Jika kita tidak dapat menyusun semula struktur politik yang memenuhi keperluan semua orang dan menunaikan permintaan mereka kerana ia permintaan sah, Mindanao akan berperang sepanjang masa," katanya. - BERNAMA
Pelarian Rohingya Ke Bangladesh

Pelarian Rohingya Ke Bangladesh

COX'S BAZAR: Hampir 90,000 pelarian Rohingya sudah melarikan diri ke Bangladesh sejak keganasan tercetus di Myanmar bulan lalu, sekali gus memberi tekanan kepada agensi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan.

Insiden keganasan di Myanmar tercetus susulan serangan pada 25 Ogos lalu ke atas puluhan pusat pemeriksaan polis dan pangkalan tentera oleh militan Rohingya.

Serangan balas daripada pihak tentera menyebabkan sekurang-kurangnya 400 penduduk terbunuh.

Pihak berkuasa Myanmar menuduh militan Rohingya membakar rumah dan punca kematian orang awam, namun pemantau hak asasi dan pelarian Rohingya di Bangladesh mendakwa ia dilakukan pihak tentera dalam usaha menghalau mereka keluar dari negara itu. - Reuters
Korea Selatan 'panaskan badan'

Korea Selatan 'panaskan badan'

SEOUL: Tentera Korea Selatan mengumumkan pihaknya mengadakan latihan senjata awal pagi tadi sebagai tindak balas ujian nuklear Pyongyang semalam, dengan menyasarkan kawasan lokasi ia diadakan.

Ketua staf tentera Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, latihan tentera itu membabitkan peluru berpandu udara jarak jauh dan peluru berpandu balistik.

"Latihan hari ini hanya membabitkan tentera Korea Selatan, namun kami bersiap sedia untuk mengadakan ujian dengan tentera Amerika Syarikat (AS)," kata kenyataan itu.

Sementara itu, AFP melaporkan tentera Korea Selatan menjalankan latihan simulasi serangan terhadap tapak pelancaran nuklear Korea Utara.

Agensi berita Yonhap yang memetik ketua staf tentera melaporkan, latihan itu adalah susulan ujian nuklear kali keenam Korea Utara dan ia membabitkan peluru berpandu balistik Hyunmoo dan jet pejuang F-15K.

Semalam, Korea Utara meletupkan bom hidrogen yang direka untuk peluru berpandu jarak jauh dan Pyongyang menyifatkan ujian itu sebagai 'satu kejayaan besar'. - Reuters/AFP
 200 keluarga di kem pelarian Syria terima daging korban

200 keluarga di kem pelarian Syria terima daging korban

KUALA LUMPUR: Lebih 700 keluarga pelarian Syria termasuk di pinggir wilayah konflik Aleppo, menerima daging korban sempena Aidiladha sempena program korban dua badan kemanusiaan (NGO) Malaysia.

Sejumlah 261 kambing dikorbankan sempena program korban agung anjuran Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) dan Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ) hasil sumbangan rakyat Malaysia, tidak termasuk 50 ekor kambing di Turki.

Daripada jumlah itu, 20 ekor dikorbankan dan dagingnya diagihkan untuk pelarian Syria di Gazientep, Turki.

Jurucakap MLLFS berkata, sekurang-kurangnya 200 keluarga di kem pelarian Syria di Sanliurfa, Turki, menerima daging korban itu termasuk golongan ibu tunggal, warga emas dan anak yatim.

"Ini adalah kali pertama MLLFS bekerjasama dengan TSDBJ bagi menjayakan program korban untuk pelarian Syria. Kerjasama NGO anak muda ini selepas kejayaan misi konvoi ambulans ke Syria," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, lima sukarelawan MLLFS dan TSDBJ diketuai sukarelawan, Ubaidah Basit, berlepas dari Malaysia pada 29 Ogos lalu untuk menjayakan misi korban di Turki dan Syria.
Mereka dijangka pulang ke Malaysia pada 7 September ini.

Maklumat lanjut mengenai program itu boleh didapati dengan melayari laman Facebook Malaysian Life Line For Syria atau Tangisan Syria di Bumi Jordan.-BERITA HARIAN
Pemacing Maut Dipanah Petir

Pemacing Maut Dipanah Petir

KUALA LUMPUR, 4 Sept ― Seorang pemancing lemas selepas terjatuh akibat dipanah petir ketika memancing dalam hujan.

Amril Ramli, 25, jatuh ke Tasik Taman Metropolitan Batu Muda di sini kira-kira jam 6 petang kelmarin, lapor Kosmo!

Ketua pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata rakan mangsa berusia 20-an turut cedera dipanah petir.

"Rakan mangsa bagaimanapun selamat. Kami mengambil masa lebih 20 minit untuk mengesan mangsa," kata Zamani Ismail.

Rakan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Maut Ditendang Lembu Korban

Maut Ditendang Lembu Korban

KUALA KRAI 4 Sept — Seorang lelaki warga emas maut selepas ditendang lembu korban, Jumaat lalu.

Kamarudin Mamat, 65, cedera dalaman di dada selepas ditendang ketika cuba mengikat kaki haiwan itu kira-kira jam 9 pagi, lapor Utusan Online.

Isterinya, Che Hasmah Abd. Rahman, 59, berkata Kamarudin kemudian diusung ke rumahnya di Kampung Dusun Durian, Seri Mahligai di sini.

"Ketika itu, suami saya masih sedar dan boleh bercakap. Arwah mengadu sesak nafas dan meninggal dunia ketika kami dalam perjalanan mendapatkan rawatan," katanya.

Kejadian yang menimpa Kamarudin menular melalui media sosial terutama aplikasi Whatsapp.-MALAY MAIL
Bergaduh Dengan Kekasih Akhirnya Bunuh Diri

Bergaduh Dengan Kekasih Akhirnya Bunuh Diri

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Seorang gadis maut selepas terjun dari tingkat 17 di sebuah kondominium selepas bertengkar dengan kekasihnya.

Mangsa dikenali Mei Lan, 23, dikatakan berselisih faham dengan kekasih yang menyewa di Kondomunium 288 Residence di Kuchai Lama, lapor Kosmo!

"Mangsa maut di lokasi selepas jatuh di tingkat tiga berhampiran kolam renang dalam bangunan tersebut. Ketika kejadian, teman lelakinya cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal," kata sumber.

Ketua polis daerah Brickfields berkata tiada unsur jenayah dalam kejadian jam 2.30 petang kelmarin.

ACP Ruslan Khalid berkata kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.-Malay Mail



Langsaikan Tugas, Khalid Bangga Beri Khidmat ‘Terbaik’

Langsaikan Tugas, Khalid Bangga Beri Khidmat ‘Terbaik’

KUALA LUMPUR, 4 Sept ― Tan Sri Khalid Abu Bakar berbangga dengan percapaiannya sepanjang 41 tahun berkhidmat dalam polis.

"Saya dah berikan yang terbaik dan tiada perkara belum selesai yang perlu saya langsaikan," kata bekas ketua polis negara dipetik Malaysiakini.

Yakin dengan kebolehan penggantinya, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, Khalid mahu terus berbakti bersama polis dengan caranya sendiri.

Timbalan perdana menteri berkata pelantikan Fuzi adalah keputusan kerajaan melalui Suruhanjaya Pasukan Polis.

Datuk Seri Zahid Hamidi berkata keputusan sebulat suara dibuat dalam mesyuarat khas baru-baru ini, lapor Utusan Online.

"Kerajaan bersetuju untuk melantik Mohamad Fuzi sebagai ketua polis negara baru," kata menteri dalam negeri itu.

Beliau berkata Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pula kekal sebagai timbalan ketua polis negara dan dinaikkan gred Turus 3.
Mereka Memang Pengganas

Mereka Memang Pengganas

KUALA LUMPUR: Pada ambang persaraan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) masih mengambil berat tentang keselamatan negara, terutamanya ancaman keganasan.

Orang nombor satu Bukit Aman itu bekerja erat dengan pihak polis Filipina bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan kubu persembunyian pengganas.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan lapan suspek Kumpulan Abu Sayyaf sudah diberkas pada Rabu lalu.

"Kami sentiasa berwaspada dengan apa sahaja ancaman, dari luar negara atau domestik.

"Polis Diraja Malaysia, terutamanya Bahagian Anti Keganasan sentiasa bertindak proaktif dalam mengumpul maklumat risikan dan juga mengambil langkah sepatutnya untuk menangani keganasan.

"Keselamatan dan keamanan rakyat adalah keutamaan kami," katanya kepada The Star pada Ahad.

KPN itu berkata demikian bagi mengulas laporan eksklusif The Star tentang penahanan militan Malaysia dan Filipina di ibu negara.

Khalid dijadualkan bersara wajib pada hari ini (Isnin). Sumber berkata, semua militan itu termasuk ketuanya, Hajar Abdul Mubin ditahan dalam operasi yang diadakan di Cheras pada malam Hari Kebangsaan, 30 Ogos.


Mohamad Fuzi Harun KPN Baharu

Mohamad Fuzi Harun KPN Baharu

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (gambar) dilantik menjadi Ketua Polis Negara yang baharu.

Beliau menggalas jawatan itu daripada Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib pada Isnin.
Pelantikan yang dibuat ke atas Pengarah Cawangan Khas itu dan bukannya Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim telah memberikan kejutan kepada ramai pihak.

Sebelum menjadi Pengarah Cawangan Khas, Mohamad Fuzi sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Pengurusan Bukit Aman dan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.

Majlis penyerahan jawatan itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.


Penjenayah Jadi Model

Penjenayah Jadi Model

TAHUN lalu, seorang pemuda berusia 20 tahun, Mekhi Alante Lucky ditahan di North Carolina atas kesalahan memandu kereta curi dan melebihi had laju.

Pemuda itu langsung tidak menyangka kejadian itu bakal merubah hidupnya sepenuhnya, tetapi ke arah lebih baik.

Gambar 'mugshot' Lucky tular dan baru-baru ini dia dilamar menjadi model untuk agensi peragaan Atlanta.

Namanya sendiri yang membawa tuah, Lucky berjaya menyelamatkan diri daripada dimasukkan ke penjara pada Mei tahun lalu, tetapi kerap ditahan atas beberapa kesalahan lain selepas itu.

Antara April hingga Disember 2016, Lucky didakwa atas kesalahan mengasari wanita dan pegawai awam serta melanggari hukuman parol.

Namun, masa silam pemuda yang bermasalah itu tidak menghalang Agenci Peragaan St Claire yang berpengkalan di Atlanta untuk menandatangani Lucky sebagai modelnya sebaik mereka melihat gambar 'mugshot' Lucky tersebar di laman sosial.

Lucky patut mengucapkan terima kasih kepada pengendali akaun Twitter yang menggunakan nama 'Wake Mugshot'kerana menyebabkan dirinya kini mempunyai pekerjaan baharu iaitu bergelar model fesyen.

Wajah unik Lucky yang memiliki warna mata yang berlainan iaitu perang dan biru mencuri tumpuan netizen sehingga digelar 'Prison Bae'.

Model dengan ketinggian 1.77m itu kini semakin popular dan memiliki 22,000 pengikut di Instagram. - Oddity Central


Tetamu Kenduri Kebas Wang Ditangkap

Tetamu Kenduri Kebas Wang Ditangkap

TUMPAT: Datang sebagai 'tetamu' kenduri kahwin namun menyelinap masuk ke dalam bilik untuk mencuri wang.

Bagaimanapun taktik penyamaran seorang wanita berusia 53 tahun itu terbongkar apabila dia diberkas ahli keluarga pengantin apabila cuba melarikan diri bersama wang tunai RM113.

Kejadian  kira-kira jam 3.15 petang di Kampung Nechang petang Sabtu ketika majlis perkahwinan pasangan pengantin baru Saidatul Akma Che Seman dan suaminya, Mohd Redzuan  Abdul Wahad.

Bapa pengantin perempuan, Che Seman Mamat, 58, berkata, salah seorang anaknya menyedari kelakuan pelik wanita itu yang tiba-tiba naik ke tingkat atas ketika menyambut kedatangan pengantin lelaki.

"Anak saya mengekorinya dan selepas melihat duit di dalam beg hilang, dia terus menjerit pencuri dan akhirnya wanita itu dapat ditangkap di garaj rumah yang tergesa-gesa mahu keluar melarikan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Nik Azlan Nik Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, wanita tersebut ditahan reman selama tiga hari bermula Ahad untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Menurutnya, suspek mempunyai rekod jenayah lampau sebanyak 9 kes berkaitan kes curi.

"Saya menasihati orang ramai lebih berhati-hati dan mengunci pintu bilik yang menyimpan barang berharga, wang hantaran sepanjang kenduri kahwin berlangsung," katanya. - Sinar Harian

Tipu pengantin, wanita ditahan polis

Tipu pengantin, wanita ditahan polis

SHAH ALAM, 3 Sept ― Pemilik butik perancang perkahwinan yang sebelum ini direman selama dua hari bermula Khamis lalu di Klang, ditahan semula petang Jumaat bagi membantu siasatan terhadap empat lagi laporan baharu yang dibuat ke atasnya di sini.

Ketua polis daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata wanita berusia 35 tahun itu ditahan pada kira-kira dua petang sebaik sahaja dibebaskan daripada tahanan reman oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPD Shah Alam selepas pihaknya menerima empat laporan polis berhubung dakwaan menipu yang dikaitkan dengan suspek, melibatkan kerugian kira-kira RM20,000.

“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul lapan malam hari yang sama selepas selesai siasatan, pasport antarabangsanya turut ditahan sebagai langkah mengelakkan dia melarikan diri ke luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis korban sempena Hari Raya Aidiladha di sini semalam.

Kata Shafien, siasatan awal pihaknya mendapati kebanyakan laporan polis ke atas pemilik butik perkahwinan itu dibuat oleh bakal pengantin yang telah membayar deposit kerana khuatir dengan perkhidmatan yang diberi.

Ini berikutan tularnya video yang menunjukkan pejabat butik berkenaan diserbu oleh pengantin yang tidak berpuas hati dengan khidmat yang diberi.

“Saya jangka lebih ramai pelanggan suspek akan membuat laporan polis untuk menuntut kembali deposit mereka,” katanya.

Shafien berkata pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes berkenaan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pada 31 Ogos lalu, Mahkamah Majistret Klang mengeluarkan perintah reman selama dua hari sehingga Jumaat ke atas suspek bagi membantu siasatan kes penipuan pakej perkahwinan yang membabitkan kira-kira 100 pasangan dan bakal pengantin dengan kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM497,000. ― Bernama


Tak Bayar Saman Akan Dibawa Ke Mahkamah

Tak Bayar Saman Akan Dibawa Ke Mahkamah

TANAH MERAH, 4 Sept — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yakin dapat menyelesaikan masalah kedegilan pesalah trafik menjelaskan saman (kompaun) menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dengan tindakan mahkamah.

Ketua pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron berkata tindakan mahkamah itu dilakukan berikutan terdapat pesalah trafik memandang mudah terhadap saman yang dikeluarkan kepada mereka selepas sistem itu dikuatkuasakan sejak 15 April lepas.

"Kita akan meneruskan tindakan itu walaupun terdapat pertikaian daripada pelbagai pihak oleh kerana kita tahu terdapat pengguna jalan raya yang degil untuk membayar kompaun RM150 atas kesalahan yang dilakukan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program 1Komuniti 1JPJ di sini, semalam.

Nadzri berkata tindakan mahkamah tersebut sudah mendapat arahan daripada peguam negara yang mana pesalah trafik yang gagal membayar saman dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh kompaun akan didakwa di mahkamah dan berdepan denda sehingga RM2,000.

"Sehingga kini pihak kami masih mengesan pesalah-pesalah tersebut sebelum dikenakan tindakan mahkamah," katanya.

Beliau berkata setakat ini, saman yang dikeluarkan AES merangkumi dua jenis kesalahan iaitu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah. — Bernama

Mahu Bantu Nahas Motorsikal.Kena Rempuh Pula

Mahu Bantu Nahas Motorsikal.Kena Rempuh Pula

SEREMBAN, 4 Sept ― Enam cedera termasuk empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kemalangan membabitkan ambulans milik APM dan sebuah kereta Perodua Myvi di jalan Bukit Putus, Kuala Pilah di sini, tengah hari tadi.

Timbalan pengarah APM negeri Mejar Mohd Rohaidi Halim yang mengesahkan kejadian itu berkata kemalangan berlaku pada pukul 1.45 tengah hari ketika empat anggotanya dari Seremban menuju ke jalan berkenaan bagi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan motosikal di situ.

“Ketika sampai di lokasi, ambulans berkenaan telah berhenti untuk membuat pusingan U kerana lokasi kemalangan adalah di arah bertentangan dan ketika itu keadaan lalu lintas agak sesak dengan kenderaan.

“Ketika ambulans sedang membuat pusingan U menuju ke lokasi kes, datang sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki dua orang daripada arah yang sama telah memotong barisan kenderaan yang sesak dan kemudian merempuh sisi kanan ambulans.

“Ketika kejadian siren masih dihidupkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Berikutan itu, empat anggota APM masing-masing berumur 52, 31, dan dua lagi lingkungan 20 tahun telah mengalami kecederaan dengan dua daripada mereka ditempatkan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar Seremban, seorang di zon kuning manakala seorang lagi di zon hijau.

Beliau berkata kedua-dua pemandu dan penumpang Perodua Myvi turut berada di zon merah di hospital yang sama untuk menerima rawatan. ― Bernama


Polis buru suspek ketiga samun

Polis buru suspek ketiga samun

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Polis masih memburu suspek ketiga kes cubaan samun terhadap seorang mekanik selepas dua rakannya ditahan dalam kejadian di hadapan sebuah pusat snuker di Jalan Setapak, di sini pada pagi Hari Raya Aidiladha kelmarin.


Mohd. Roy Suhaimi Sarif
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, suspek lelaki yang dikenali sebagai Udin itu dipercayai sedang bersembunyi berikutan berjaya melarikan diri selepas kejadian tersebut.


“Kita sedang giat memburu seorang lagi suspek berdasarkan maklumat yang diperoleh hasil daripada rakaman percakapan kedua-dua rakan suspek yang ditahan.

“Kedua-dua suspek kini dalam tahanan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hari ini, media melaporkan sambutan Hari Raya Aidiladha kelmarin dicemari dengan tindakan tiga pemuda yang cuba menyamun seorang mekanik pada pukul 8.10 pagi di Jalan Setapak, di sini.

Ketika kejadian, mangsa berusia 34 tahun itu sedang berjalan bersendirian untuk pergi sarapan sebelum tiga suspek yang masing-masing menaiki motosikal dengan salah seorang daripada mereka bersenjatakan parang tiba-tiba menghampiri mangsa dan cuba merentap beg silang milik mangsa.

Mangsa cuba mempertahankan beg silang miliknya sambil bergelut dengan penjenayah terbabit sebelum kejadian itu disedari orang awam yang kemudian menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Akibat kejadian itu, dua suspek berusia 28 dan 30 tahun cedera dibelasah orang awam manakala seorang lagi rakan mereka meloloskan diri. Kedua-dua suspek kemudian diserahkan kepada anggota polis yang datang ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu.-UTUSAN MALAYSIA


Google+ Followers