Friday, 22 December 2017

PPBM SELANGOR BUAT LAPORAN POLIS, GESA SIASAT KERUGIAN BNM RM160 BILION

PPBM SELANGOR BUAT LAPORAN POLIS, GESA SIASAT KERUGIAN BNM RM160 BILION

Parti Pribumi Bersatu Selangor (PPBM) Selangor membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan berhubung dakwaan kerugian rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) antara 2013 hingga 2015 sebanyak 160 bilion seperti didakwa pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Pengerusi PPBM, Datuk Abdul Rashid Asari berkata dakwaan yang ditimbulkan Dr Mahathir berkaitan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan rizab antarabangsa BNM perlu diberi perhatian khusus memandangkan dakwaan tersebut adalah berasas.

“Semakan yang kami lalukan di laman sesawang Bank Negara mendapati bahawa dakwaan Dr Mahathir itu ada kebenarannya dan bukan satu tuduhan yang melulu serta tidak berasas.

“Dalam semakan kami, sejak 2009, jumlah tertinggi rezab antarabangsa BNM yang pernah dicatatkan ialah pada 31 Januari 2013 iaitu RM588.8 bilion.

“Namun jumlah itu telah berkurangan dengan begitu drastik dan ketara kepada RM427.98 bilion setakat 30 November 2017. Pengurangan sebanyak RM160.86 bilion,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM Selangor di Plaza Masalam hari ini.

Tambah Rashid, kerugian rizab tersebut adalah tujuh kali ganda lebih ganda berbanding kerugian akibat urus niaga Forex semasa pentadbiran Dr Mahathir pada awal 1990-an.

Beliau turut mempersoalkan layanan kerajaan yang dianggapnya “double standard” dalam dua isu ini dengan hanya mendiamkan diri berkaitan kerugian rizab antarabangsa itu.

“Ada yang mengatakan bahawa rizab itu telah digunakan bagi mempertahankan mata wangi ringgit daripada terus merundum.

“Persoalannya jika benar BNM telah menggunakan rizab negara bagi mempertahankan mata wang ringgit ketika itu, bagaimanakah tindakan itu berbeza berbanding kerugian di dalam transaksi forex pada awal 90-an?,” katanya.

Rashid menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera secara menyeluruh dan tidak pilih kasih bagi memastikan tidak berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam pengurusan rizab itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehudin Amiruddin berkata setakat ini tujuh laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung perkara itu.

Beliau berkata akan ada lagi laporan polis dibuat dan ia juga akan dilapor ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perlu.

“Setakat ini kita hanya baru buat laporan polis dan mungkin akan bawa ke SPRM bagi meminta pihak berkuasa menyiasat perkara ini,” katanya.

Dr Mahathir yang baru-baru ini mempertikaikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang lebih mengambil berat tentang kerugian Forex berjumlah RM31.5 bilion dan berlaku kira-kira 30 tahun lepas, tetapi tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kerugian rizab antarabangsa BNM berjumlah RM160 bilion dari 2013 hingga 2015.
BN SELANGOR SUKAR TUMBANGKAN KERAJAAN PH DALAM PRU, KATA PENGANALISIS

BN SELANGOR SUKAR TUMBANGKAN KERAJAAN PH DALAM PRU, KATA PENGANALISIS


Barisan Nasional (BN) dijangkakan berhadapan kesukaran untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Selangor, seterusnya menawan kembali negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana tidak mampu menampilkan pemimpin berwibawa yang mampu menandingi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata penilaian yang dilakukannya terhadap pentadbiran Mohamed Azmin menunjukkan bahawa kerajaan Selangor kini ditadbir lebih baik, selain mendapat sokongan majoriti rakyat di negeri ini.

Malah katanya, Indeks Prestasi Utama (KPI) pentadbiran Mohamed Azmin berada pada tahap cemerlang dan sukar ditandingi oleh mana-mana pemimpin BN Selangor menyebabkan parti pemerintah kerajaan persekutuan itu terpaksa menggunakan strategi menyerang Menteri Besar Selangor sebagai langkah terdesak.

“Sudah tentu sesiapa pun kalau lawan politiknya dirasakan lebih hebat daripadanya, ini menimbulkan keresahan dan kebimbangan malah ketakutan yang nyata, dalam konteks ini kepada BN.

“Ini sudah terbukti daripada segala dasar dan langah yang diambil Mohamed Azmin. Dari segi prestasinya tidak dapat diragui dan dari segi tadbir urus juga sukar ditandingi.

“Dalam keadaan sedemikian, BN tak punya pilihan kecuali gunakan strategi menyerang imej pentadbiran Mohamed Azmin dan juga imej Pakatan Harapan (Harapan) secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Bagaimanapun Jeniri tidak menolak kemungkinan bahawa serangan terhadap imej Menteri Besar Selangor itu mampu mempengaruhi pemikiran sebahagian rakyat, tetapi berpandangan impak serangan tersebut secara keseluruhan amatlah kecil.

Tambahnya, rakyat Selangor dilihat mempunyai pendirian dan tanggapan positif terhadap kepimpinan Mohamed Azmin disebabkan pelbagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dijalankan oleh kerajaan Selangor.

“Apa pun, dalam keadaan sekarang saya percaya Umno/BN sukar untuk menumbangkan Harapan di Selangor dalam PRU14 nanti.

“Rakyat Selangor dapat lihat sendiri langkah dan inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri yang beri kesan positif.Dari segi itu, walau apa pun strateginya ini tak beri kesan banyak.

“Mungkin orang luar Selangor sedikit sebanyak boleh terpengaruh, namun bagi rakyat Selangor yang merasai sendiri kesannya, saya fikir dapat menilai sendiri dengan lebih baik,” katanya.

Thursday, 21 December 2017

TRUMP ANCAM TARIK BALIK BANTUAN NEGARA YANG MEMBANTAHNYA DI PBB

TRUMP ANCAM TARIK BALIK BANTUAN NEGARA YANG MEMBANTAHNYA DI PBB

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengancam untuk menarik balik bantuan kewangan dari negara yang menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak pengiktirafan AS dalam isu Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

"Mereka telah mengambil beratus-ratus juta dolar, bahkan berbilion dolar, dan mereka mengundi menentang kami," kata Trump kepada pemberita pada mesyuarat kabinet di Rumah Putih.

"Kami sedang memerhatikan undi-undi tersebut. Biarkan mereka mengundi menentang kami. Kami akan menjimatkan wang yang begitu banyak. Kami tidak peduli," katanya.

Kenyataan Trump dibuat selepas Duta AS ke PBB, Nikki Haley, menerusi akaun Twitter beliau menyatakan bahawa "AS akan mengambil nama" mereka yang mengkritik pilihan AS di Perhimpunan Agung PBB.

Perhimpunan Agung PBB akan mengadakan sesi mesyuarat tergempar yang jarang dilakukan bagi membincangkan status Baitulmaqdis pada Khamis selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya terhadap gesaan awal yang digubal oleh Mesir agar Washington menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Amerika Syarikat pada Isnin telah menggunakan kuasa vetonya terhadap satu draf resolusi Majlis Keselamatan berhubung status Baitulmaqdis.

Kesemua 14 anggota Majlis Keselamatan telah mengundi untuk menyokong teks draf yang digubal oleh Mesir itu.

Bagaimanapun, memandangkan Amerika Syarikat, yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan, mempunyai kuasa veto, resolusi itu tidak dapat diterima pakai.

Sebelum undian, Duta Mesir ke PBB, Amr Abdellatif Aboulatta menjelaskan bahawa draf resolusi itu bertujuan memastikan bahawa sebarang percubaan untuk mengubah ciri-ciri atau komposisi demografik Kota Lama Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan, batal serta tidak sah dan hendaklah dimansuhkan.

Draf resolusi itu turut menggesa semua pihak tidak mewujudkan misi diplomatik di Baitulmaqdis, katanya.

Menurut sumber PBB, Duta Palestin Riyad Mansour berkata negaranya berharap Perhimpunan Agung tersebut akan merangka satu resolusi bagi menggesa penarikan balik langkah AS itu.

Pada 6 Disember, Trump mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, yang mencetuskan kemarahan besar-besaran dalam kalangan dunia Arab dan Islam. -Bernama
'KAMI TAK AKAN SAMAN CIKGU AZIZAN'

'KAMI TAK AKAN SAMAN CIKGU AZIZAN'

Bapa murid yang ditampar Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan, menafikan pihaknya akan memfailkan saman terhadap guru terbabit, susulan keputusan mahkamah semalam.

Menurut laporan Harian Metro semalam, lelaki berusia 50 tahun itu berkata ia mungkin timbul akibat salah faham antara isterinya dengan wartawan yang membuat laporan itu.

“Tindakan itu (saman) bukan sebahagian daripada apa yang kami mahu laksanakan buat masa ini. Mungkin berlaku salah faham atau kekeliruan ketika isteri ditemui wartawan itu (bukan dari kumpulan NSTP).

“Kami amat tertekan sekarang ini dan trauma. Tumpuan kami adalah mahu pulih daripada tekanan,” katanya seperti dipetik.

Mahkamah Majistret Seremban semalam melepas tanpa membebaskan guru Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai itu, daripada pertuduhan mencederakan muridnya ekoran masalah disiplin, pada Oktober lalu.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, ibu murid itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mas berkata kecewa dengan keputusan mahkamah dan sedang menimbang untuk memfailkan saman sivil terhadap guru tersebut.

Beliau juga mendakwa mempunyai bahan bukti anaknya itu mengalami kecederaan serius, termasuk gambar dan laporan perubatan.

Menurut laporan Harian Metro lagi, bapa murid itu mendakwa menerima banyak tekanan daripada pihak luar ekoran itu itu dan belum sedia untuk memberikan penjelasan.

Namun, katanya lagi, pihak keluarga mungkin akan mengadakan sidang media hari ini.

Isu 'Cikgu Azizan' mula tular di laman sosial hujung minggu lalu dengan ramai pihak menyuarakan sokongan kepada Azizan.

Semalam, kira-kira 300 guru berhimpun di mahkamah sebagai tanda sokongan kepadanya.
MACAM WILAYAH MAFIA, KATA MUFTI

MACAM WILAYAH MAFIA, KATA MUFTI

"Sungguh serius dan menakutkan, macam wilayah mafia. Susah nak percaya."

Begitu reaksi segera mufti Perlis Datuk Dr Asri Zaibul Abidin di media sosial terhadap laporan eksklusif sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkaitan kemungkinan wujud cubaan menutup kes penyeludupan orang di Wang Kelian, Perlis.

Asri menulis perkara itu di Facebook sambil berkongsi pautan berita New Straits Times (NST).

Laporan harian itu yang bertajuk Was there a cover-up in Wang Kelian? merujuk kepada penemuan kubur beramai-ramai mangsa penyeludupan manusia di kawasan sempadan Thailand pada 2015.

Laporan itu mendakwa terdapat percubaan menutup perkara itu dengan merosakkan bukti.

Laporan dan dokumen lain dalam penyiasatan juga didakwa disunting.

Pada 1 Mei 2015, pihak berkuasa Malaysia dikejutkan dengan kem-kem penyeludupan manusia dan kubur massa oleh warga Thailand.

Mereka memeriksa kawasan sempadan Malaysia dan menemui 139 kubur pada 24 Mei, bersama lebih kurang 24 kem seumpamanya, lapor NST.
Pembangkang utama kepentingan politik

Pembangkang utama kepentingan politik

KUALA LUMPUR: Tahap hipokrasi (kepura-puraan) ditonjolkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang dalam isu kerugian tukaran wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) membuktikan dua pemimpin pembangkang itu lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding mencari kebenaran.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, berkata serangan Dr Mahathir terhadap bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, berhubung kerugian urus niaga tukaran wang asing BNM berjumlah RM31.5 billion, tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sepatutnya marah dengan tindakan Kit Siang yang menuntut penubuhan suruhanjaya siasatan bagi menyiasat kerugian tukaran wang asing BNM sejak 20 tahun lalu.

"Abdul Murad hanya memberi keterangan dalam pendengaran RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) berhubung kerugian sebenar forex yang mendedahkan jumlahnya adalah RM31.5 bilion, bukannya RM5.7 bilion.

"Sekarang, Dr Mahathir memerlukan Kit Siang sebagai sekutu politik, manakala Kit Siang memerlukan Dr Mahathir untuk mendapatkan undi orang Melayu. Kedua-duanya membuat pusingan U dalam skandal forex," katanya menerusi catatan terkini dalam blognya sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir meletakkan kesalahan berikutan kerugian itu ke atas Abdul Murad, dengan mendakwa bekas penolong gabenor BNM itu mengetahui mengenai kerugian terbabit tetapi memilih berdiam diri dan hanya mendedahkan perkara diketahuinya, baru-baru ini.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata, sikap Dr Mahathir dan Kit Siang dalam isu berkenaan membuktikan kepentingan politik lebih diutamakan berbanding isu lain.

"Bukankah Kit Siang yang menuntut kebenaran dan Dr Mahathir yang menyatakan beliau hanya mencari kebenaran?" katanya.-Berita Harian

Google+ Followers