Sunday, 25 February 2018

Kereta peronda polis terbabas dihimpit

SHARE
PARIT BUNTAR: Dua koperal polis berhadapan detik cemas apabila kereta peronda mereka terbabas selepas dihimpit kenderaan suspek pencuri kabel di persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.15 pagi itu, anggota polis berkenaan sedang mengejar suspek selepas menerima maklumat sekumpulan lelaki disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di Jalan Siakap.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kereta peronda Proton Inspira itu hampir dirempuh kenderaan suspek yang cuba melarikan diri ke arah pusat bandar Bagan Serai sejurus menyedari kehadiran anggotanya.

Katanya, kenderaan suspek terus memecut melalui Jalan Ipoh-Butterworth menghala ke arah pusat bandar Parit Buntar, manakala kereta peronda polis itu mengejar sambil kedua-dua anggota itu meminta bantuan tambahan.

"Ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga, kenderaan suspek menghimpit kereta peronda polis sehingga terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar penghadang jalan.

"Akibat tindakan suspek, kereta peronda yang terbabas mengalami kerosakan teruk pada bahagian belakang, namun kedua-dua anggota terselamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, empat suspek yang menaiki kereta hijau gelap itu berjaya meloloskan diri dan lokasi terakhir kenderaan mereka dikesan ialah di persimpangan bertingkat menghala ke Jalan Taiping di sini.

Katanya, sejumlah kabel yang dipotong sepanjang 15 meter ditinggalkan di sisi jalan bersama peralatan memotong dan ia adalah kes kedua di lokasi terbabit.

"Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut dipanggil dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 (1) kanun sama atas kesalahan cubaan membunuh serta mencuri kabel," katanya.

Saksi kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Khairi melalui talian 012-5077026.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers