Friday, 23 February 2018

Mahathir Juga Umum Projek Dekat Pilihan Raya

SHARE
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menempelak kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan pengumuman projek-projek pembangunan di Langkawi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Beliau menegaskan bekas perdana menteri itu turut berbuat perkara sama termasuk setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) semasa menerajui tampuk pemerintahan negara, lapor Bernama.

“Kalau Tun Mahathir kata ini janji (pilihan raya) untuk orang Langkawi, saya ingat masa dia jadi perdana menteri dulupun dia buat macam itu juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Pendidikan Daerah di sini.

Mahdzir berkata apabila ada bajet sudah tentu Najib selaku perdana menteri akan umumkan projek untuk manfaat rakyat.

“Sebenarnya kerajaan dari dulu sampai sekarang ini (apabila) hendak membuat (laksana) sesuatu (projek) tidak menunggu pilihan raya. Bila sahaja ada peruntukan (terus) kerajaan akan buat… tak timbul soal ini kira dah dekat dengan (pilihan raya umum), (baru) nak umum,” katanya.

Mahdzir yang juga menteri pendidikan dalam rangka lawatan kerja sehari di pulau peranginan ini berkata tahap pembangunan yang dicapai di Langkawi masa kini tidak mungkin akan dapat dikecapi sekiranya setiap projek pembangunan kerajaan dilaksanakan hanya apabila dekat pilihan raya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kementeriannya sedang dalam proses mengenal pasti dua buah sekolah di sini untuk menjadi perintis bagi memulakan transaksi tanpa tunai.

Katanya proses transaksi tanpa tunai itu untuk menerapkan kesedaran tentang Revolusi Perindustrian Peringkat Keempat (IR 4.0) dalam kalangan pelajar dan pendidik.

Beliau turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan RM2.5 juta untuk sekolah-sekolah seliaan kementerian di daerah ini, lebih 400 unit katil untuk asrama Kolej Vokasional, penambahbaikan kuarters guru dan peruntukan bilik mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah di sini.

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers