Sunday, 25 February 2018

Pemandu bas ekspres subahat angkut PATI

SHARE
KOTA BHARU: Pemandu bas ekspres dikesan menerima bayaran antara RM30 hingga RM100 untuk mengangkut seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Kelantan ke negeri berdekatan atau sebaliknya.

Timbalan Komander Negeri (Operasi) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan, Mohd Rosli Mat Nun, berkata pemandu bas ekspres terbabit disyaki bersubahat mengambil PATI yang dibawa dari sempadan Kelantan-Thailand menggunakan kenderaan sindiket.

Sebaik tiba di stesen bas berdekatan, katanya, PATI terbabit dipercayai menaiki bas ekspres berkenaan ke lokasi tertentu, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

"Kita berjaya mengesan pemandu bas berani mengangkut PATI kerana memperoleh upah tinggi antara RM30 hingga RM100 bagi setiap pendatang itu dan beranggapan pihak berkuasa tidak dapat mengesan pergerakan mereka.

"Namun, kita sentiasa membuat pemantauan secara risikan dan operasi bagi mengekang kemasukan PATI ke negara ini atau keluar ke negara jiran secara haram melalui pintu sempadan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, dipercayai PATI turut membayar RM1,200 seorang kepada sindiket, manakala sindiket pula membayar upah RM120 kepada pemandu kereta bagi setiap pendatang.

Katanya, pembayaran upah itu bagi melancarkan pergerakan dan perjalanan PATI ke destinasi sama ada balik ke negara asal atau masuk ke negara ini.

"Kita mengesan PATI berkenaan diseludup sindiket warga asing yang tinggal di negara jiran (Thailand) menerusi pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang.

"Dipercayai sindiket bertindak licik dengan menjalankan operasi pada waktu malam dan awal pagi menggunakan bot menyeberangi Sungai Golok," katanya.

Mohd Rosli berkata, modus operandi itu dikesan hasil operasi pihaknya kelmarin yang menahan 10 warga Myanmar berusia antara 16 hingga 38 tahun di dalam bas ekspres di Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Renok Baru, Gua Musang.

"Berdasarkan maklumat risikan, bas ekspres itu mengambil PATI di Stesen Bas Peringat di sini, sebelum ke Jertih, Terengganu, dan berpatah balik ke Kuala Krai untuk ke Puchong, Selangor.

"Kami mengekori bas ekspres itu dalam masa satu jam setengah sejauh 80 kilometer (km) sebelum berjaya menahan mereka," katanya.

Beliau berkata, PATI terbabit diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

"Pemilik dan pemandu bas pula boleh disiasat serta diambil tindakan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers