Ahad, 25 Mac 2018

Adun PKR Kelantan Dakwa Peruntukan Disekat

SHARE
KUALA KRAI - Adun Guchil meluahkan rasa kecewa kerajaan negeri menyekat peruntukan kepada beliau selaku wakil rakyat Dun berkenaan sejak awal tahun ini.

Mohd Roslan Puteh yang merupakan satu-satunya Adun PKR di Kelantan mendakwa, peruntukan untuk Dun Guchil kini disalurkan melalui Penyelia Dun yang dilantik kerajaan negeri.

“Kesannya segala perancangan untuk melaksanakan program bersama rakyat terbantut.

“Susulan itu rakyat melihat seolah-olah saya tidak mempedulikan mereka serta tidak melaksanakan tugas saya sebagai pemimpin,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kerana itulah beliau mengambil keputusan mendedahkan perkara ini supaya rakyat khususnya di Dun Guchil mengetahui situasi sebenar.

“Selalunya peruntukan diterima pada awal tahun, tetapi kini peruntukan tersebut kini disalurkan melalui Penyelia Dun yang telah dilantik oleh kerajaan negeri,” katanya.

Katanya lagi, tindakan kerajaan negeri ini seolah-olah menidakkan haknya sebagai wakil rakyat Dun Guchil dan ia agak berbeza dengan situasi yang berlaku di Selangor.

“Saya sangsi dengan tindakan kerajaan negeri yang seolah-olah mengkategorikan saya sebagai pembangkang seperti BN dan Amanah.

“Sedangkan di Selangor wakil rakyat dari Pas masih menerima peruntukan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, jika benar tanggapan itu, beliau berharap Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar melihat dan mengkaji semula peruntukan yang telah disalurkan kepada Adun Pas.

“Jika Selangor boleh beri peruntukan kepada 13 Adun kenapa Kelantan tidak boleh memberi peruntukan kpd hanya satu Adun.

“Walaupun Parlimen bakal dibubarkan pada bila-bila masa tetapi rakyat akan menilai dan membuat perbandingan antara dua negeri dipimpin parti berbeza,” katanya.

Beliau juga memaklumkan keanggotaannya di dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah Jajahan juga telah digugurkan awal tahun.

“Kini saya tidak boleh mengesahkan permohonan tanah kerajaan di Dun Guchil,” katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers