Jumaat, 30 Mac 2018

Balik pada SST? Harga lebih tinggi, kata pakar

SHARE
KUALA LUMPUR, 30 Mac —Mempercayai harga barangan akan turun jika Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan semula menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah satu mitos.

Pengarah Hernancres Tax Consultancy Sdn Bhd, Desmond Anil, berkata bertentangan dengan kepercayaan popular itu, kesannya adalah sebaliknya.

“SST mempunyai kesan lata ke atas harga barangan berikutan perniagaan yang didaftarkan untuk SST akan mendapatkan semula cukai melalui kenaikan kos (perniagaan) dan ini akan menyebabkan harga tinggi,” katanya dalam temubual dengan Bernama.

Desmond menjelaskan ketidaktentuan dalam penetapan harga yang wujud daripada langkah ini hanya sebahagian kecil daripada kebimbangan yang lebih besar, yang termasuk perdagangan rentas sempadan dan harga pemindahan daripada transaksi antara syarikat.

“GST telah dilaksanakan secara menyeluruh sejak tiga tahun lepas dan dengan memansuhkannya, ia akan memberi impak yang besar kepada perdagangan yang sedang dijalankan,” katanya.

Dari aspek cukai, Desmond menekankan sistem sekarang sudah cukup baik, dengan struktur cukai menyediakan setara dan seimbang dan membawa kepada pewujudan jejak perniagaan.

“Kembali kepada SST mungkin satu langkah yang popular, tetapi berdasarkan ciri-ciri cukai dan asas yang membentuk GST, saya tidak melihat mana-mana sistem cukai yang boleh menjadi lebih baik,” katanya.

GST diperkenalkan pada 1 April, 2015 dengan kadar enam peratus menggantikan SST, yang ditetapkan dengan kadar 10 peratus.

Pada awal pelaksanaannya, kerajaan berkata GST perlu untuk mengurangkan impak daripada kejatuhan harga minyak, yang merosot kepada US$60 setong sebelum jatuh kepada US$30.28 pada awal 2016, terendah sejak krisis kewangan tahun 2007-2010.

Hari ini, harga minyak hampir kepada paras US$70 setong, dan ramai yang mempersoalkan keperluan GST memandangkan Petronas mencatat keuntungan bersih sebanyak RM45.4 bilion tahun lepas.

Syarikat minyak nasional itu dijangka membayar dividen RM19 bilion kepada kerajaan bagi 2018, lebih tinggi daripada RM16 bilion pada 2017.

Bagaimanapun, Desmond menegaskan persepsi GST sebagai pendapatan tambahan kerajaan apabila harga minyak rendah adalah tidak benar.

“Pemahaman umum mengenai GST sebagai perolehan kedua kerajaan apabila harga minyak rendah merupakan cara yang sempit untuk melihat perkara itu susulan cukai itu sendiri adalah cukai yang menyeluruh dan amat berasaskan kepada transaksi,” katanya.

GST adalah sistem cukai yang dilaksanakan secara menyeluruh mengikut perbelanjaan dan kerajaan telah mengecualikan pelbagai barangan isi rumah, import minyak dan gas serta perkhidmatan seperti pengurusan unit strata, pembinaan sekolah dan lain-lain.

Pelaksanaan GST merupakan antara sebab kerajaan dapat mengurangkan defisit fiskal negara daripada 6.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009 kepada 3.1 peratus pada 2016.

Tahun lepas, perolehan hasil kutipan GST adalah sebanyak RM42 bilion. —Bernama

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers