Thursday, 29 March 2018

Berebut Tapak Gerai Warga Turki Ditetak

SHARE
KUALA LUMPUR: Akibat berebut tapak gerai di Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, dekat sini, seorang peniaga kebab warga Turki cedera ditetak di tangan dan lebam di muka akibat ditumbuk selepas diserang lima lelaki tempatan dalam kejadian 9 malam tadi.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Sedat Surucu, 43, diserang lima lelaki yang mahu peniaga kebab itu berpindah keluar daripada tapak lot gerai itu biarpun kontrak sewaan berbaki dua bulan lagi.

Mangsa diserang adik ipar kepada pemilik tapak gerai berkenaan yang membawa empat rakannya bagi memaksa mangsa untuk berpindah lebih awal.

Isteri mangsa, Benazir Akhtar Ahmad Anuar, 34, berkata, ketika kejadian, beliau bersama suaminya, Sedat, sedang menjalankan perniagaan seperti biasa sebelum lima lelaki berkenaan datang ke gerai meminta mereka berpindah keluar malam itu juga.

"Kerana tidak mahu bergaduh, suami saya minta masa untuk berkemas, namun tiba-tiba salah seorang daripada lima lelaki berkenaan menumbuk mukanya.

"Terkejut dengan tindakan lelaki itu, suami yang memegang pisau pemotong kebab sepanjang 60 sentimeter lari ke belakang untuk menyorokkan pisau itu, namun ia diambil oleh salah seorang lelaki yang kemudian menetak bahagian atas lengan kirinya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Benazir, luka akibat tetakan dialami suaminya agak teruk berikutan terkena bahagian tulang dan memerlukan pembedahan kecil.

"Buat masa ini, suami saya ditahan di Pusat Perubatan Prince Court bagi menjalani pembedahan kecil untuk merawat luka tetakan yang agak dalam hingga kena bahagian tulang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi mengesahkan menerima laporan kejadian dan pihaknya sudah menahan salah seorang daripada lima lelaki yang terbabit menyerang peniaga kebab warga Turki itu serta sedang mengesan empat lagi suspek kejadian berkenaan.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers