Jumaat, 30 Mac 2018

Bukan Nak Cabar Sesiapa

SHARE
KUALA LUMPUR: Sering memuat naik video nyanyian di laman sosial termasuk Instagram tanpa disangka membuka langkah pelakon, Zara Zya untuk mencuba nasib sebagai penyanyi.

Tampil dengan single pertama, Tiada Dendam yang akan diperkenalkan di pelbagai platform digital bermula esok, Zara berkata, kemunculan lagu pop balada itu bukan untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada.

"Saya sekadar mencuba nasib dan mencari angin baharu dalam kerjaya. Tidak dinafikan, kebelakangan ini, ramai pelakon mengorak langkah dalam bidang nyanyian.

"Tiada salahnya saya membuat keputusan yang sama untuk menggembirakan peminat. Selama ini, ramai peminat berharap saya merakamkan lagu sendiri dan kemunculan Tiada Dendam memenuhi permintaan mereka," katanya.

Zara berkata, lagu yang dirakamkan pertengahan tahun lalu di sebuah studio di Selayang, Selangor itu berkisar mengenai hubungan cinta yang kandas di pertengahan jalan.

Namun, Zara menafikan lagu yang turut diperkenalkan menerusi Channel YouTube Life Records Malaysia, bermula Jumaat ini mempunyai kaitan dengan dirinya.

"Ia bukan kisah hidup saya. Lagu ini membawa mesej kepada pendengar supaya sentiasa positif apabila berdepan kegagalan dalam percintaan.

"Apa juga yang terjadi, kita mesti kuat kerana pasti ada hikmah di sebalik yang berlaku. Jangan ada dendam dan benci," katanya.

Pelakon drama Love You Mr Arrogant itu berkata, Tiada Dendam adalah ciptaan bersama Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam, manakala lirik ditulis Iman Imran.

Zara kini masih melunaskan baki penggambaran drama Monalisa yang menggandingkannya bersama Nazim Othman dan Hafreez Adam. Penggambaran drama itu dijangka berakhir Mei ini.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers