Isnin, 26 Mac 2018

FAQ RUU Antiberita Tidak Benar 2018

SHARE
KUALA LUMPUR, 26 Mac: Berikut adalah Soalan Sering Ditanya (FAQ) mengenai Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dikeluarkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini.

Rang Undang-undang itu dibentangkan kerajaan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh menteri berkenaan bertujuan mengekang penyebaran berita tidak benar dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan.

Menurut RUU tersebut, akta yang dicadangkan itu juga untuk melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar dan pada masa yang sama memastikan hak kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati.

1. Apakah tujuan kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu ini serta cabarannya memandangkan terdapat beberapa undang-undang sedia ada untuk mengekang isu penyebaran berita tidak benar?

Isu penyebaran berita tidak benar merupakan masalah yang dihadapi secara global ekoran revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas. Sejak kebelakangan ini, Malaysia sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan daripada penyebaran berita tidak benar yang bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh memberi ancaman terhadap keselamatan, ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara. Justeru, pendekatan baharu dengan memperkenalkan satu RUU baharu adalah amat kritikal.

Malah, beberapa negara luar telah mula menyedari bahawa isu penyebaran berita tidak benar merupakan ancaman global yang besar kepada dunia maklumat yang perlu ditangani secara efektif dan segera.Sebagai contoh di Singapura, suatu Jawatankuasa Pilihan (Select Committee On Deliberate Online Falsehoods: Causes, Consequences And Counter measures) ditubuhkan untuk mengkaji masalah berita tidak benar, jenis-jenis pelaku dan motif mereka dalam menyebarkan berita tidak benar dan kesan penyebarnya. Ini termasuklah kemungkinan untuk mengadakan suatu undang-undang baharu bagi menangani penyebaran berita tidak benar.

Filipina juga telah menggubal suatu RUU khas untuk menangani penyebaran berita tidak benar, iaitu Anti-Fake News Bill 2017 yang memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang menawarkan, menerbitkan, mengedar atau menyebarkan berita tidak benar.

Justeru, harus difahami bahawa walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan, namun sehingga hari ini masalah ini tidak dapat dikawal secara efektif berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas dan kompleks. Apatah lagi, undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah digubal pada atau sebelum tahun 1990-an yang tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks seiring dengan peredaran teknologi terkini.

Sehubungan dengan itu, elemen-elemen yang baharu akan diperkenalkan dalam RUU ini. Antara elemen baharu yang dicadangkan termasuk memperuntukan pemakaian luar wilayah dengan hasrat menunjukkan keseriusan Kerajaan dalam menangani kesalahan-kesalahan penyebaran berita tidak benar oleh mana-mana orang di luar Malaysia.

Selain takrif, penjelasan atau ilustrasi yang jelas mengenai maksud “berita tidak benar”, RUU ini juga akan memperuntukkan kesalahan mengenai bantuan kewangan bagi tujuan penyebaran berita tidak benar, kesalahan sekiranya seseorang itu tidak menghapuskan sesuatu penyiaran berita tidak benar dan sebagainya.

Pada masa yang sama, RUU ini akan mewujudkan langkah sementara untuk menyekat penyebaran sesuatu berita tidak benar sementara siasatan dan pendakwaan sesuatu kes sedang dijalankan.

2. Merujuk kepada, definisi mengenai “berita tidak benar” dalam RUU ini, adakah definisi tersebut bersifat umum atau spesifik?

Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memberikan takrif yang jelas dan khusus mengenai “berita tidak benar” dalam RUU yang dicadangkan termasuk memperuntukan beberapa illustrasi untuk menunjukkan keadaan-keadaan berlakunya sesuatu penyebaran berita tidak benar.

RUU ini mentafsirkan “berita tidak benar” termasuk apa-apa berita , maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu sama ada dalam bentuk rencana, visual, atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Perlu diberi penekanan bahawa buat masa ini, tidak ada mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan penyebaran berita tidak benar yang memberikan definisi khusus mengenai “berita tidak benar”.

3. Dalam konteks ini, siapakah yang akan menentukan sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya?

Dalam perkara ini, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberikan satu pihak yang neutral dan adil iaitu Mahkamah untuk menentukan sama ada sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya. Yakni, dengan proses undang-undang yang sewajarnya.

Kuasa akan diberikan kepada Mahkamah untuk membuat perintah bagi menghapuskan apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.

4. Terdapat dakwaan bahawa RUU ini akan menyekat kebebasan bersuara yang diperuntukkan, apakah pandangan Kerajaan mengenai perkara ini?

Ini adalah satu dakwaan yang tidak berasas dan bermotifkan politik semata-mata. Tiada mana-mana undang-undang yang digubal dan diluluskan oleh Parlimen adalah bertujuan untuk menyekat hak kebebasan bercakap dan bersuara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apatah lagi, di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Kerajaan telah berjaya melaksanakan transformasi undang-undang seperti melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau ISA, memperkenalkan Peaceful Assembly Act atau Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menyuburkan lagi hak bersuara rakyat di negara ini.

RUU ini digubal selaras dengan punca kuasa sebagaimana yang diperuntukkan dalam perenggan (a) Fasal 2 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

RUU yang dicadangkan ini bertujuan untuk melindungi orang awam daripada lambakan berita tidak benar dan pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan hak kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati.

5. Adakah RUU ini akan memperuntukan hukuman yang lebih berat?

RUU ini juga berunsur pencegahan bagi memberi mesej yang jelas bahawa setiap individu hendaklah bertanggungjawab terhadap perkongsian maklumat yang benar dan sihat.

Pihak didapati bersalah dalam menyebarkan berita tidak benar boleh dikenakan denda serta penjara atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Mahkamah juga boleh memerintahkan mereka yang didapati bersalah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terjejas.

Pada masa yang sama, RUU ini juga akan memberikan mesej yang jelas bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak benar yang boleh memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan Negara malah akan terus memastikan keselamatan Negara terus terpelihara.

Justeru, sememangnya, hukuman yang lebih tinggi diperuntukkan berdasarkan degree sesuatu kesalahan termasuk pengenaan denda dan hukuman penjara.

6. Adakah RUU ini hanya untuk mengawal penularan berita tidak benar dalam media sosial?

RUU ini mengawal selia penyebaran berita tidak benar dalam mana-mana medium penerbitan dan tidak terbatas kepada media sosial sahaja.

7. Adakah dengan adanya RUU ini akan menangani isu penyebaran berita tidak benar secara total?

RUU ini dapat menzahirkan komitmen Kerajaan untuk menangani penularan berita tidak benar ekoran revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas.

Sehubungan dengan itu, RUU ini akan melengkapi peruntukan undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, skop RUU ini luas dan eksklusif bagi menangani kesalahan-kesalahan mengenai berita tidak benar secara menyeluruh dan efektif.– Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers