Ahad, 25 Mac 2018

Jangan Kurang Ajar Dengan Polis

SHARE
Asisten Komisioner Idris Abd Rafar
KUALA TERENGGANU - "Aku dok heran mu polis", kata-kata biadab seorang pemuda kepada anggota polis ketika ditahan selepas didapati memandu secara merbahaya.

Sikap kurang ajar terhadap anggota polis tersebut bagaimanapun memakan diri sendiri apabila ditahan dan seterusnya direman hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi, suspek berusia 25 tahun itu dikatakan terserempak dengan kereta anggota yang sedang melakukan rondaan dan pemantauan di pentadbiran Gong Badak, Kuala Nerus.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek ketika itu didapati sedang memandu pacuan empat roda jenis Hilux dalam keadaan merbahaya.

"Sejurus ternampak kenderaan kami, suspek seolah-olah langsung tidak takut dengan kesalahan itu, malah lebih melampau, dia cuba menghimpit kereta pasukan.

"Anggota bertindak membunyikan hon dan memberi nasihat agar suspek tidak memandu melulu namun tidak diendahkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Idris berkata, suspek bukan sahaja tidak menghiraukan arahan diberikan, malah bertindak memprovokasi dan bersikap kurang ajar.

"Selepas diminta berhenti berkali-kali, akhirnya suspek mengalah dan berhenti di tepi jalan utama berhampiran lampu isyarat.

"Bukan itu sahaja, suspek juga untuk menumbuk anggota kami tapi berjaya dihalang," katanya.

Jelasnya lagi, kemudian, suspek juga diminta menunjukkan kad pengenalan diri serta lesen memandu tetapi masih enggan memberi kerjasama.

"Seterusnya suspek diminta hadir ke Balai Polis Gong Badak tetapi juga tidak diendahkan sebelum anggota membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistert/ Sesyen Kuala Terengganu, Noradila Abd Latif membenarkan suspek direman selama tiga hari untuk siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana bertindak menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Bagi kesalahan itu, hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers