Tuesday, 6 March 2018

Lambang mata lebam untuk mewakili PH?

SHARE


Pakatan Harapan (PH) kelihatan putus harap untuk didaftarkan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), sekaligus menggunakan lambang yang telah diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu menyatakan pihaknya terpaksa menggunakan lambang sekutu PH bagi membolehkan mereka menampilkan diri sebagai satu parti.

PRU14 dirasakan semakin hampir dan dijangka PH tidak sempat didaftarkan untuk menggunakan lambangnya, memandangkan tidak ada petanda positif daripada JPPM.

PH telah membawa perkara ini ke mahkamah, tetapi tentunya dirasakan ia akan memakan masa lama dan tidak dapat diselesaikan sebelum PRU14.

Maka, parti-parti PH sama ada menggunakan lambang masing-masing atau bersetuju menampilkan salah satu daripadanya saja.

Dalam mesyuarat minggu lalu, PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM memutuskan untuk menggunakan satu lambang saja. Bagaimanapun, mesyuarat itu tidak memutuskan lambang parti yang mana hendak digunakan.

Untuk menentukan lambang mana, pasti ia mengambil masa dan perbincangan yang panjang dalam rundingan Majlis Presiden pakatan itu. Ini kerana mereka perlu mengambil kira keberkesanan dan impak terbesar dalam penggunaan lambang parti yang dipilih.

Sedangkan sebelum ini mereka sudah lama berbincang dan akhirnya bersetuju dengan lambang PH, iaitu berupa bentuk kemuncak. Ia tidak jauh bezanya dengan lambang yang digunakan dalam filem siri televisyen fiksyen sains, Star Trek. Ia dikatakan melambangkan usaha hendak mencapai kecemerlangan.

Lambang itu berwarna putih dengan latar merah serta tertera HARAPAN. Bagaimanapun, JPPM meminta ditambah perkataan PAKATAN pada lambang itu. Dengan lambang itu, maka warna rasmi PH adalah merah dan putih, sama warna dengan PPBM.

Parti-parti PH lain yang mempunyai warna merah pada lambang mereka ialah DAP dan PKR. Warna DAP ialah merah, putih dan biru. PKR juga begitu, cuma ia adalah biru muda. Sementara Amanah mempunyai warna oren dan putih. Tetapi, lambang Amanah hampir bentuknya dengan PH. Ia juga berbentuk puncak, tetapi ada relang putih.

Lambang parti mana yang wajar dijadikan wakil kepada PH masih menjadi pertimbangan. Lambang Amanah dan PPBM yang berbentuk bunga adalah baharu dan belum dikenali ramai. Lambang Amanah diperkenalkan pada 2017 dan Amanah tahun sebelumnya.

Sebagai pertubuhan tertua di kalangan anggota PH, lambang roket DAP mula diperkenalkan pada 1967, apabila parti itu didaftarkan.

Reka bentuk lambang roket itu disesuaikan daripada lambang Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. Cumanya lambang PAP berbentuk petir.

Petir dan roket

Perkataan Petir adalah singkatan nama PAP dalam bahasa Melayu. Sebuah parti pecahan daripada PAP, iaitu Barisan Sosialis Singapura juga mengambil reka bentuk lambang PAP. Cumanya petir itu digantikan dengan bintang merah, yang juga simbol sosialisme.

PAP, Barisan Sosialis dan DAP berpegang kepada fahaman sosialisme demokrasi. Pengasas DAP asalnya anggota PAP ketika Singapura berada dalam Malaysia.

Apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada 1965, secara automatik, PAP tidak boleh bergerak di negara ini. Maka, bekas ahli PAP di Malaysia kehilangan partinya. Mereka menubuhkan DAP pada 1966 dan didaftarkan pada 1967.

Roket sebagai lambang parti bukan saja menggambarkan kemajuan dan sikap progresif, tetapi juga meraikan usaha untuk mencapai kejayaan. Selain itu, ia juga menggambarkan sains, teknologi, fikiran rasional dan demokrasi.

Lambang roket lebih bermakna daripada logo petir. Namun, petir melambangkan tindakan segera. Pada tahun penubuhan DAP itu, Amerika Syarikat dan Soviet Union sedang berlumba-lumba melancarkan roket mereka.

Soviet mendahului Amerika, apabila kapalnya, Sputnik berjaya sampai ke angkasa pada 1957, sementara Amerika merancang mendahului Soviet dalam mendaratkan manusia di bulan pada 1969.

Roket adalah lambang lebih progresif daripada kapal layar yang merupakan logo Perikatan semasa pilihan raya umum 1969, tetapi lambang roket ini dimomokkan Umno sejak pilihan raya itu.

Kebanyakan orang Melayu sukar mengundi roket. Hanya pada pilihan raya umum 2008, kelihatan ramai orang Melayu yang merupakan penyokong PKR dan PAS, bersedia mengundi lambang roket.

Sebagai lambang progresif, roket adalah hampir kepada logo PH yang seakan-akan berbentuk simbol Star Trek. Namun, roket sebagai lambang DAP menyukarkannya untuk dijadikan logo bagi PH yang berusaha mendapatkan undi Melayu.

DAP yang kebanyakan anggotanya terdiri daripada kalangan orang Cina dilihat sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan kaum itu, walaupun fahaman asalnya, iaitu “Malaysian Malaysia” yang merupakan penerusan fahaman bawaan daripada PAP.

Lambang mata lebam

Kedudukan DAP ini sukar menjadikan lambangnya mewakili PH. Maka, secara pertimbangan wajar, lambang yang boleh diambil PH ialah logo PKR.

Lambang PKR ini direka berasaskan kepada bentuk mata. Ia dilaporkan direka bentuk Seniman Negara, Datuk Syed Jamal Ahmad, seorang pelukis yang aktif menyokong gerakan Reformasi pada 1998.

Allahyarham juga mereka bentuk lambang Pergerakan Keadilan Sosial (Adil), NGO yang ditubuhkan sebelum Parti Keadilan Nasional diwujudkan.

Lambang mata itu dikaitkan dengan peristiwa “mata lebam” Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika beliau dalam tahanan polis pada tahun awal pergerakan Reformasi itu.

Ia menjadi simbol penentangan Anwar terhadap kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dr Mahathir ketika itu. Tetapi logo “mata” boleh dimaksudkan dengan nilai-nilai lain seperti kesedaran, penelitian dan kearifan.

Lambang PKR pada asalnya berwarna putih dengan latar biru muda. Warna biru muda selalu dikaitkan dengan perdamaian dan keadilan seperti yang terdapat pada lambang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tetapi, kini lambang PKR mempunyai 2 jalur merah di kiri dan kanan. Dua jalur ini mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bergabung dengan Keadilan untuk menjadi PKR. Merah adalah juga warna aliran politik kiri.

PKR muncul sebagai parti utama dalam PH, tetapi ia tidak menjadi dominan seperti Umno dalam BN.

Struktur PH berbeza daripada BN. Tidak ada parti yang dominan dalam PH. Tetapi, Ketua Umumnya, Anwar adalah juga pemimpin PKR yang sudah disepakati akan dilantik sebagai perdana menteri, apabila beliau dibenarkan memegang jawatan itu.

Keadaan ini meletakkan PKR sebagai parti utama PH, walaupun struktur dan operasinya bergerak secara konsensus.

Maka, tidak hairanlah dalam pembahagian kawasan Parlimen yang hendak ditandingi dalam PRU14, PKR memperoleh peruntukan kerusi terbanyak walaupun ia hanya lebih satu berbanding PPBM.

Lambang PKR sememangnya tidak asing digunakan parti lain. Dalam pilihan raya terdahulu, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga menggunakan lambang PKR.

Seorang pemimpin Pemuda PKR dari Permatang Pauh sudahpun mencadangkan penggunaan lambang partinya untuk digunakan calon PH. Permatang Pauh adalah kawasan Presiden PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pemilihan lambang PKR adalah wajar dan kedudukan parti itu sebagai komponen utama PH boleh diiktiraf. Tetapi, tentunya ada perasaan tidak senang di kalangan sebahagian anggota PPBM dan Amanah.

Sebab itu, PKR perlu berhati-hati dalam memberi tekanan kepada parti lain dalam PH. Ia wajar dibuat secara halus, terutamanya kepada PPBM, walaupun semua komponen PH adalah penting.

Hubungan PKR-PPBM adalah sensitif. Walaupun PPBM merupakan sebuah parti baharu dan kecil berbanding PKR, tetapi kini PH dipimpin Dr Mahathir selaku pengerusinya. Beliau juga calon perdana menteri pakatan itu, sebelum jawatan itu diserahkan kepada Anwar.

Politik dalaman PH adalah rumit dan ia perlu digerakkan dengan penuh pertimbangan. Sikap angkuh akan meruntuhkan sebarang kesepakatan yang dibina secara bersusah payah. Pelajaran daripada sikap PAS yang membawa keruntuhan Pakatan Rakyat wajar dijadikan iktibar.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Oleh Zin Mahmud

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers