Friday, 23 March 2018

Walaupun Mahathir Calon PM Tiada Tsunami Melayu Pada PRU-14

SHARE

SEREMBAN, 23 Mac: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan Pakatan Harapan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara, jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak memberi impak begitu besar kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau yakin pencalonan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak akan menyebabkan tsunami Melayu seperti yang didakwa pembangkang sebelum ini.

“Saya tidak kata tiada gangguan… sikit-sikit itu ada impact tetapi tidaklah seperti orang kata akan terjadi tsunami orang Melayu… tak akan ada,” kata Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan dalam temubual khas bersama Bernama di sini.

Pada 7 Jan lepas, PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri jika pakatan itu menang PRU14.

Menjelang PRU14, yang akan diadakan tidak lama lagi, pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PKR, PPBM dan Parti Amanah Negara menerima secara terbuka kehadiran Dr Mahathir kononnya bagi menyelamatkan Malaysia dan mencanang tsunami Melayu akan berlaku dalam cubaan mereka menumbangkan BN.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata beliau tidak boleh menerima tindakan bekas perdana menteri itu yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang khususnya DAP yang amat tidak disukainya sebelum ini.

“Saya hormat Tun Mahathir dan saya pun pernah bekerja di bawah tangan dia… tapi sejak dia bersekongkol dengan DAP ni…saya rasa agak sukar bagi orang Melayu untuk menyokongnya.

“Terdapat satu hal… dia (Dr Mahathir) menyatakan DAP ini parti rasis semenjak 30, 40 years dulu. Hari ini apahal pula tiba-tiba dia dan Lim Kit Siang berbaik. DAP ni semua baik. Itu saya tidak boleh terima. Saya tak marah Tun Dr Mahathir, tapi cara dia berpolitik itu merugikan bangsa,” tegasnya.

Mohamad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, berkata orang Melayu sekarang matang untuk berfikir sama ada tindakan Dr Mahathir itu baik atau tidak kepada bangsa.

“Kalau kat kampung pun orang dah hilang hormat dengan dia, kalau di surau orang tua yang jarang cakap pasal politik boleh tanya saya, apa kena Dr Mahathir ini Datuk…? Ini bermnakna dah sampai ke tahap itulah (tidak bersetuju dengan tindakan Dr Mahathir),” katanya.– Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers