Sunday, 25 March 2018

Zaman Mahathir Sabah Gelap

SHARE
SIPITANG: Sabah berada dalam zaman kegelapan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad kerana tidak dipedulikan walaupun negeri ini banyak menyumbang kepada ekonomi negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata keadaan itu hanya berubah apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran dan Sabah terus membangun dengan lebih mapan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Sebelum itu adalah zaman kegelapan bagi rakyat negeri ini ekoran tidak begitu dipedulikan oleh kepemimpinan tertinggi negara walaupun banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan kemenangan Barisan Nasional (BN).

"Namun, selepas Tun Mahathir berundur dan diambil alih oleh Tun Ahmad Badawi seterusnya Datuk Seri Najib, pembangunan Sabah terus meningkat secara drastik merangkumi semua peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda BN Peringkat Negeri Sabah di Dewan Serbaguna Sipitang, di sini, petang tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Pengerusi BN Sipitang yang juga Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Yamani Hafez Musa.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN berkata, pembangunan di Sabah juga bertambah pesat di bawah kepemimpinan Musa sebagai Ketua Menteri yang banyak membawa pembaharuan dalam pelbagai aspek.

Sehubungan itu, katanya, rakyat negeri ini wajar terus memberikan sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) supaya kemajuan Sabah terus meningkat setanding negeri lain.

"Kita tidak mahu Sabah mundur sebagaimana di bawah pentadbiran pemimpin sebelum ini (Tun Dr Mahathir) hingga banyak keperluan rakyat tidak dipenuhi berbanding pada masa ini.

"Kita dapat saksikan, selain kemajuan, semakin ramai individu dan pemimpin dari Sabah diiktiraf hingga menjadi menteri di pelbagai kementerian, termasuk mengetuai banyak agensi kerajaan," katanya.

Mengenai pelancaran Briged Gempur Pemuda BN, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, jentera Pemuda BN itu sudah siap sedia untuk menghadapi PRU-14 pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, katanya, kerja keras seluruh jentera diperlukan bagi memastikan kemenangan lebih besar BN khususnya bagi meraih sokongan pengundi muda yang ketika ini mencatatkan pertambahan drastik.

"Kita semua sudah siap sedia menghadapi 'peperangan' ini dan hanya menanti semboyan dibunyikan seterusnya 'menggempur' musuh yang cuba menghalang perjuangan rakyat dan negara tercinta ini," katanya.

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers