Tuesday, 6 March 2018

Zulhasnan sedia tanding di Setiawangsa

SHARE
KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique berkata, beliau bersedia kembali berkhidmat sebagai wakil rakyat jika dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, ia selepas namanya antara yang tercalon bertanding di Parlimen Setiawangsa seperti dikemukakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Pada majlis di dewan serbaguna baru-baru ini, Adnan keluarkan satu berita dalam ucapannya menyatakan mungkin di Parlimen Setiawangsa, BN akan kemukakan dua calon.

"Saya antara seorang daripadanya. Jika ini menjadi kenyataan, insya-Allah saya terima dengan terbuka, tetapi keputusan ini terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sebab itulah cara BN pilih calon.

"Sekiranya tidak dipilih, saya tetap akan turun membantu dan menyokong calon dipilih Perdana Menteri," katanya selepas menghadir program Jualan Sentuhan Rakyat di Kem Kementah Desa Tun Hussein Onn di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada berhasrat kembali bertanding pada PRU-14 dan kesediaannya jika dipilih menjadi calon BN terutama di kerusi Parlimen Setiawangsa.

Dalam program itu, sebanyak 1,000 ekor ayam diedarkan secara percuma kepada masyarakat setempat. Selain itu, barangan seperti gula, beras, telur dan ikan turut dijual pada harga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Zulhasnan yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) pernah menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1999 hingga 2004 dan Ahli Parlimen Setiawangsa bagi tempoh 2004 hingga 2013.

Beliau juga berpengalaman menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2006 hingga 2009, selepas bertugas sebagai Timbalan Menteri di kementerian sama dari 2004 hingga 2006.

Sementara itu, sumber memberitahu, Zulhasnan dijangka bertemu Najib di Parlimen, esok. Pertemuan itu mungkin berkaitan dengan pencalonannya untuk bertanding di Parlimen Setiawangsa pada PRU-14.

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers