Sunday, 15 April 2018

15 kawasan panas sarang dadah di Selangor

SHARE
PETALING JAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor mengenal pasti 15 kawasan panas yang menjadi sarang penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Kawasan terbabit meliputi perkampungan tradisional dan nelayan, sekitar perumahan kos rendah serta kawasan petempatan dalam projek pembangunan perladangan.

Pengarah AADK Selangor, Md Razif Wan, berkata pihaknya turut mengesan trend peralihan penyalahgunaan daripada dadah tradisional kepada jenis sintetik, malah remaja berusia 13 tahun turut dikesan terjebak gejala itu.

Beliau berkata, antara kawasan panas berkenaan ialah Sungai Besar, Sabak Bernam; Pandamaran dan Bandar Klang, Klang; serta Kampung Dato Harun dan Kampung Medan, Petaling Jaya.

"Di Ampang, kawasan panas ialah Pandan Indah, Pekan Ampang dan Hulu Klang, manakala di Kajang pula Bangi, Semenyih serta Batu 9.

"Di Gombak ialah Rawang, Selayang dan Pekan Gombak. Serdang turut dikenal pasti sebagai kawasan panas.

"Kawasan berkenaan terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu perkampungan nelayan, perkampungan tradisional, kawasan perumahan kos rendah dan petempatan dalam projek pembangunan perladangan," katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini, beliau berkata, penagih di perkampungan nelayan dan tradisional serta ladang lebih gemar menggunakan dadah tradisional.

"Namun, pihak kami mengesan mereka kini beralih selera kepada penyalahgunaan dadah sintetik. Yang lebih membimbangkan kami ialah keadaan tidak terkawal sehingga remaja berusia seawal 13 tahun turut terbabit.

"Selain perkampungan, lokasi panas di beberapa bandar negeri ini dikesan di kawasan perumahan kos rendah seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA)," katanya.

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers