Friday, 13 April 2018

2 didenda RM3,000 mulakan komunikasi palsu di FB

SHARE
KUALA LUMPUR: Seorang jurutera kilang dan graduan politeknik, masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat serta memulakan penghantaran komunikasi palsu di Facebook, berhubung laporan kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing dibawa masuk dari Sepanyol.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Asrul Alwin Mohd Yusoff, 32, dan Ainin Syazwani Che Mat Noordin, 22, selepas kedua- dua mereka mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mohd Asrul Alwin dan Ainin Syazwani turut berdepan hukuman penjara sebulan setiap seorang jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, mereka kemudian membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh masing-masing didakwa menggunakan aplikasi Facebook milik mereka dan membuat serta memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat menyakitkan hati orang lain pada jam 7.48 pagi, 21 Julai 2017 dan jam 9.53 pagi, 20 Julai 2017.

Kedua-dua pautan itu dibaca di restoran Starbucks Aeon Alpha Angle, Bandar Baru Wangsa Maju, di sini pada jam 10 pagi, 1 Ogos 2017.

Mohd Asrul Alwin dan Ainin Syazwani didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

Terdahulu, dalam rayuannya, Ainin Syazwani yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman rendah kepadanya kerana dia sudah insaf dan memohon maaf, selain dia baru bekerja sambilan untuk menanggung keluarga.

Mohd Asrul Alwin yang juga tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga dan tidak berniat memburukkan mana-mana pihak atau mengajak orang lain membenci tetapi hanya untuk ingatan saudara seagamanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Norhani Mohd Adzhar bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan membabitkan penyebaran berita palsu, selain untuk memberi pengajaran kepada orang lain supaya mengesahkan terlebih dulu sesuatu berita sebelum menyebarkannya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers