Tuesday, 10 April 2018

Bekas anggota DAP wakili PSM dalam PRU14

SHARE
GEORGE TOWN, Apr 9: Setelah meninggalkan DAP, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Sungai Pinang Teh Yee Cheu akan cuba mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti tetapi atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Anggota Jawatankuasa PSM Choo Chon Kai berkata ini merupakan kali pertama PSM bertanding di Pulau Pinang dan akan hanya bertanding satu kerusi itu sahaja.

“Teh bukan sahaja menepati kriteria yang kami tetapkan, tetapi kami juga percaya Teh merupakan calon yang berwibawa yang boleh membina kuasa rakyat dan mencapai agenda keadilan sosial,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata Teh akan bertanding sebagai calon individu kerana menurut tradisi parti beliau perlu membuat persediaan asas di Sungai Pinang sekurang-kurangnya dua tahun sebelum dapat diterima sebagai anggota parti.

Teh yang juga hadir dalam sidang media itu berkata beliau mahu bertanding atas tiket PSM kerana mendapati hanya PSM yang benar-benar sanggup memperjuangkan keadilan sosial.

Beliau berkata sekiranya menang beliau akan menggalakkan masyarakat di Sungai Pinang menyuarakan kebimbangan mereka dan PSM akan membawa apa yang disuarakan itu kepada kerajaan negeri.

Teh secara rasmi meninggalkan DAP semalam.– Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers