Friday, 6 April 2018

Bekas MP Kapar Manikavasagam Umum Keluar PKR

SHARE
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, memutuskan untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas kecewa dengan konflik dalaman parti itu.

Beliau yang digantung keahlian sejak Ogos 2017 berkata, sudah cukup baginya untuk berada dalam parti itu selama 18 tahun kerana dakwanya, ada pihak dalaman termasuk barisan kepimpinan yang bertindak melancarkan 'serangan peribadi' terhadapnya.

"Banyak pihak yang mencemburui, dengki dan tidak puas hati dengan saya...macam-macam mereka lakukan bagi menjatuhkan imej saya dalam parti.

"Sehubungan itu, saya mengambil keputusan untuk keluar parti dan menyertai parti lain kerana saya memerlukan platform untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya dalam temuramah bersama mStar Online.

Manikavasagam berkata, susulan keputusannya itu, beliau akan menyertai sebuah parti pembangkang lain dan pengumuman itu akan dibuat Sabtu ini.

Jelasnya lagi, keyakinannya terhadap PKR ketika ini hanyalah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim serta timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Jika bukan Anwar, Azmin layak sebagai calon perdana menteri berbanding pihak lain sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14)," katanya yang pernah memikul tanggungjawab selaku Ketua Cabang PKR Kuala Selangor yang ketika itu mempunyai 45 Ranting sebelum keahliannya digantung.

Pada Ogos tahun lalu, PKR menggantung keahlian Manikavasagam selama dua tahun berikutan satu ucapan yang dibuatnya di Kuil Sri Balathandayuthapani, Kapar pada 8 April tahun yang sama.

Manikavasagam mendakwa yang dia telah membuat rayuan berserta penjelasan dalam tempoh 14 hari selepas penggantungan itu, tetapi statusnya sehingga kini masih menjadi tanda-tanya.

Malahan, jika penggantungan itu ditarik balik dalam masa terdekat sekali pun katanya, ia sudah terlambat kerana sudah membuat keputusan untuk meneruskan agenda politiknya.

"Saya ikhlas berjuang dan berkhidmat untuk rakyat pelbagai kaum seperti menangani masalah dan kawasan setempat," katanya.

Mengenai PRU14, Manikavasagam menegaskan tindakannya keluar parti bukan disebabkan mahu bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.

Bagaimanapun beliau tidak menolak sekiranya diberi peluang oleh parti baharu untuk bertanding, termasuk di kawasan Parlimen Kapar.

"Terpulang kepada mereka (parti baharu), kalau diberi peluang untuk bertanding, saya terima. Kalau dapat Kapar baguslah sebab saya sudah lama berkhidmat kepada masyarakat di sini dan sudah ada pengikut malah bermastautin di Meru," katanya.-mStar


"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers