Ahad, 22 April 2018

BN Selangor Umum Calon Esok

SHARE
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengumumkan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) esok.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, keputusan pemilihan itu muktamad dan berharap semua ahli parti memberi sokongan kepada calon yang bakal diumumkan.

"Esok saya akan umumkan calon-calon BN Selangor jam 10 pagi di tingkat 3 Bangunan UMNO Selangor.

"Keputusan ini adalah muktamad dan kita tidak akan melayan sebarang rayuan kerana penapisan untuk menjadi calon dibuat secara teliti oleh pucuk pimpinan.

"Justeru, kita kena terus berjuang dan akur dengan keputusan tertinggi itu," katanya pada sidang media selepas Sesi Townhall bersama JPP dan JKKKP di sini, hari ini.

Kata Noh, empat Ketua UMNO Bahagian menemui beliau lebih awal untuk tidak bertanding sebaliknya mahu bekerja untuk parti.

"Ada Ketua Bahagian yang beritahu saya lebih awal, mereka hendak bekerja untuk parti dan mereka tidak berminat (bertanding).

"Mereka iaitu Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah; Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo; Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Ishak Harun.

"Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Norhayati Onn; Ketua Pemuda UMNO negeri, Zainuri Zakaria; Ketua Puteri UMNO negeri, Salbiah Saari dan Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan juga datang berjumpa saya memaklumkan mereka juga tidak mahu bertanding," katanya.

Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya enam calon wanita BN Selangor yang bakal bertanding pada pilihan raya kali ini manakala sebahagian besar penyandang juga kekal di kedudukan kerusi masing-masing.

Ketika ditanya kemungkinan berlaku sabotaj, Noh berkata, pemantauan akan dilakukan supaya tidak berlaku keadaan itu.

"Kita akan pantau sama ada mana-mana pihak akan sabotaj calon. Kita di Selangor ada pengalaman dan pernah ambil tindakan terhadap Ketua Bahagian.

"Kita akan pantau mana-mana pihak yang cuba sabotaj parti dan mengambil tindakan sekiranya terbukti calon disabotaj. Tiada tolak ansur," katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, semua calon dari UMNO yang diumumkan juga perlu menandatangani akujanji khas supaya tidak menentang sesama mereka bagi pemilihan UMNO akan datang.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers