Selasa, 10 April 2018

BN Yakin Rampas Wangsa Maju

SHARE
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju yakin dapat merampas kembali kerusi parlimen itu hasil gerak kerja terancang dalam menelusuri denyut nadi pengundi sejak lebih dua tahun lalu.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, berkata melalui pelbagai program dan perjumpaan dibuat komponen BN dengan pengundi di kawasan itu, jelas ada peningkatan sokongan masyarakat.

"Kerusi Parlimen Wangsa Maju ini asal usulnya kerusi UMNO dan pastinya kita mahu pertahankan kerusi ini, terutama apabila kaum Melayu sudah meningkat kepada 61 peratus, Cina (21 peratus) dan India (18 peratus).

"Kita juga mempunyai sokongan padu pertubuhan kaum India iaitu Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia (PNRM), yang sangat aktif dan diharapkan menjaga kebajikan masyarakat India di kawasan Wangsa Maju di samping MIC," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pemuda India Wangsa Maju, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi PNRM, P Alagan.

Beliau berkata, jumlah pengundi India di kawasan Wangsa Maju juga meningkat daripada lebih 6,000 kepada 7,400 kini.

"PNRM ini yang secara terbuka menyokong BN mempunyai ahli di Wangsa Maju sahaja seramai 2,000 orang.

"Ini kerana mereka sedar kerjasama dengan BN penting bagi meluaskan jaringan dengan jabatan dan agensi kerajaan.

"Saya jangka daripada 7,400 pengundi India ini, kita mampu dapat sokongan sekurang-kurangnya 70 peratus," katanya.

Ditanya mengenai pengundi Melayu, beliau berkata, BN yakin meraih 70 peratus sokongan.

"Sokongan kaum Cina di Wangsa Maju juga menunjukkan peningkatan sebab pendekatan kita berbeza kali ini dengan tumpuan khidmat kepada mereka.

"Misalnya, kita sudah pergi ke Setapak Jaya Indah, yang mempunyai kira-kira 2,000 pengundi Cina, Teratai Mewah, Idaman Suria dan Cahaya Suria.

"Hasil bancian kita dapati sokongan kaum Cina ini meningkat. Peluang untuk (BN) menang adalah cerah," katanya.

Mohd Shafei berkata, pendekatan pembangkang hanya mewujudkan politik kebencian dan menidakkan usaha baik kerajaan.

"Apa yang kerajaan buat, mereka kata mereka yang buat. Contohnya, saya mencadangkan kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan pemaju untuk bangunkan UTC (Pusat Transformasi Bandar) di Pasar Gombak, tapi saya dengar di satu ceramah pembangkang, mereka dakwa mereka yang perjuangkan.

"Saya juga perjuangkan kampung warisan di Kampung Puah sebelum 2017 lagi, tapi mereka kata orang atasan mahu ambil balik tanah dan mereka yang perjuangkan.

"Pembangkang ini ibarat 'lembu punya susu, sapi dapat nama'," katanya.

Pada PRU-13, Mohd Shafei mendapat 26,130 undi dan tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang memperoleh 31,641 undi.

Pada karnival berkenaan, Mohd Shafei turut melancarkan laman web

PNRM yang berfungsi sebagai portal sehenti bagi pembangunan masyarakat India.

Laman web itu menyediakan akses yang pelbagai, termasuk berkaitan pendidikan, peluang pekerjaan dan perkhidmatan.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers