Thursday, 19 April 2018

Gerakan tanding 6 kerusi di Lembah Klang

SHARE
KUALA LUMPUR: GERAKAN mengumumkan calonnya bertanding masing-masing tiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor serta Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) itu turut berunding untuk tambahan kerusi Parlimen Segambut dan satu kerusi DUN di Parlimen Kota Raja, namun masih menunggu keputusan akhir pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata, dua kerusi Parlimen di Kuala Lumpur yang disahkan, diwakili Naib Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau bagi Parlimen Batu dan peguam yang juga Pegawai Penyelaras GERAKAN Parlimen Kepong, Ong Siang Liang di Kepong.

"Untuk Parlimen Puchong, Selangor, kita meletakkan Pengerusi GERAKAN Selangor, Datuk Ang Chin Tat sebagai calon.

"Di DUN Selangor pula, mereka adalah Chai Ko Thing (Bukit Gasing), Ben Liew Pok Boon (Teratai) dan Syed Abdul Razak Alsagoff di Bukit Lanjan," katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Khidmat GERAKAN Puchong di sini, hari ini.

Pada PRU-13, Dominic tewas kepada Tian Chua (PKR) dengan majoriti 13, 284 undi. Siang Liang adalah calon baharu di Parlimen Kepong yang sebelum ini disandang Dr Tan Seng Giaw (DAP).

Dr Seng Giaw mengekalkan kerusi itu selama lapan penggal dengan majoriti 40,307 undi, menewaskan dua pencabar iaitu calon PPP, Chandrakumanan Arumugam dan calon Bebas, Yee Poh Ping.

Bagaimanapun, pada 9 April lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan Dr Seng Giaw digugurkan sebagai calon pada PRU-14 dan digantikan penyandang Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Siew Keong yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, beliau yakin GERAKAN mampu memberi kemenangan pada PRU-14 untuk kedua-dua Parlimen terbabit hasil kerja keras sejak kekalahan pada PRU-13.

"Kerjasama kita sebagai parti komponen BN begitu erat dan akan terus bekerja keras walaupun kalah pada PRU 2013 bagi memastikan kemenangan kali ini.

"Seperti di Puchong, walaupun kita kalah selama dua penggal tetapi kali ini kita yakin dapat memberi tentangan hebat kepada pembangkang, "katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers