Saturday, 7 April 2018

Iskandar: PAS corot? Kajian IDE ‘psy war’ lemahkan lawan

SHARE
PETALING JAYA, 7 April — PAS melihat kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) yang diumum kelmarin sebagai “perang saraf” untuk melemahkan lawan.

Datuk Iskandar Samad, seorang exco Selangor, berkata kajian badan bawah kerajaan negeri itu juga cuba mempengaruhi cara pengundi berfikir.

“Selalunya kajian yang diumumkan adalah 'psy war' [perang saraf] untuk melemahkan jentera lawan,” kata naib presiden PAS kepada ProjekMMO.

“Kadang kala kajian bukan bertujuan untuk mengenal pasti bagaimana aliran pemikiran pengundi tetapi untuk mempengaruhi cara pengundi berfikir.”

Beliau diminta mengulas dapatan IDE, hasil tinjauan bulan lalu, yang mendapati PAS tewas di beberapa kawasan PKR dalam persaingan tiga penjuru.

Berdepan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, menurut tinjauan di tiga kerusi PKR, parti Islam muncul dengan jumlah undi yang paling rendah.

Timbalan pengerusi IDE Datuk Mohammad Redzuan Othman memberitahu PKR bakal mempertahankan Bukit Antarabangsa, Seri Setia dan Sementa.

Ketiga-tiga kerusi itu disandang Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dan dua lagi exco kerajaan negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Dr Daroyah Alwi.

Kajian antara 15 hingga 18 Mac lalu, berdasarkan Daftar Pemilih Induk Suku Keempat 2017 selepas persempadanan, mendapati Azmin menang 8,045 undi.

Menurut dapatan IDE lagi, di Seri Setia dan Sementa, PKR diramal menang dengan majoriti 3,856 undi dan Sementa 831 undi.

PAS pula hanya mengutip 4,238 undi di Bukit Antarabangsa, 5,860 undi di Seri Setia dan 6,004 undi di Sementa.

Berdasarkan tinjauannya, Redzuan juga menyatakan sukar Barisan Nasional merampas semula Selangor atas prestasi program Azmin.

“Kepemimpinan Azmin beri impak yang besar kepada Selangor,” katanya ketika membentang Kajian Landskap Politik Selangor 5.0.

Sokongan rakyat kepada Selangor ada kaitan dengan kepemimpinan dan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diusahakan Azmin, tambah Redzuan.

Dihubungi semalam, Iskandar yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor berkata keputusan kajian seumpama ini sentiasa berbeza-beza.

“Kalau ada 10 kajian ada 10 keputusan berbeza. Jadi IDE hanyalah satu kajian tersebut,” katanya, yang menjelaskan PAS turut membuat kajian.

“Tetapi kita guna untuk dalaman. Untuk merancang gerak kerja kita.”

Namun beliau tidak mendedahkan sama ada PAS berpeluang lebih cerah setelah tidak lagi bersama gabungan pembangkang dalam pilihan raya umum nanti.

Membentuk Gagasan Sejahtera, PAS ingin bertanding di lebih 40 kerusi walau parti itu masih membentuk sebahagian kerajaan negeri hingga sekarang.

PAS menang 15 kerusi pada 2013 tetapi dua wakil rakyatnya keluar parti dalam krisis menteri besar setahun kemudian.

Parlimen dibubarkan hari ini dan Selangor dijangka mengumumkan langkah sama Isnin ini selepas menteri besar menghadap sultan.-MalayMail
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers