Friday, 6 April 2018

Isu Masyarakat India, MIC ‘Serang’ Mahathir Bertubi-Tubi

SHARE
Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam menyifatkan kebanyakan isu dan permasalahan yang pernah dihadapi masyarakat India disebabkan sikap tidak mengambil berat kebajikan kaum itu semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Bernama melaporkan beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata isu-isu yang dibangkitkan seperti kewarganegaraan dan sekolah Tamil sebenarnya boleh diselesaikan semasa Pengerusi Parti Pribumi Malaysia (PPBM) itu memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara selama 22 tahun itu.

“Disebabkan kesemua masalah yang dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian, hari ini masalah-masalah melibatkan kaum India menjadi masalah legasi,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Dr Mahathir bahawa bekas Presiden MIC Tun S.Samy Vellu tidak melakukan sebarang kerja untuk masyarakat India dan tindakan mengalahkan parti MIC pada pilihan raya ke-14 (PRU14) adalah tindakan yang betul.

Dr Subramaniam berkata penyelesaian menyeluruh terhadap permasalahan kaum India bermula pada tahun 2010 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambilalih kepimpinan pada 2009, melibatkan penyelesaian lebih 7,000 kes kewarganegaraan melalui Kempen MyDaftar.

Dr Subramaniam berkata di bawah kepimpinan Najib, kerajaan BN telah menyediakan peruntukan besar hampir RM1 bilion untuk membawa perubahan dalam penambahbaikan serta membaiki sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Sekarang semua jadi mewah. Pada masa itu tidak dibuat apa-apa. Saya rasa Dr Mahathir perlu melihat balik apakah sumbangan beliau semasa menjadi perdana menteri. Sebagai perdana menteri, beliau sebenarnya boleh saja menyelesaikan masalah di bawah kementerian dan agensi kerajaan tertentu,” katanya.

Dr Subramaniam yang ditemui di luar perkarangan Perdana Putra selepas menghadiri pengumuman pembubaran Parlimen sebelum itu berkata MIC akan memuktamadkan senarai calon PRU14 pada minggu hadapan dan setakat ini, senarai itu telah hampir 80 peratus siap.

Beliau berkata pihaknya akan berbincang bersama Mesyuarat Tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam memutuskan senarai calon PRU untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di negeri Selangor, Perak dan Johor.

“Bermula sekarang, jentera pilihan raya kita telah bersedia dan momentum kita adalah begitu baik dan lancar,” katanya. – BERNAMA
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers