Khamis, 5 April 2018

Jangan mudah tertipu dengan slogan 'Ubah'

SHARE
MARUDI: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat supaya tidak mudah tertipu dengan slogan 'Ubah' yang digunakan pakatan pembangkang bagi menarik perhatian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri menegaskan slogan berkenaan belum tentu dapat menjanjikan kepemimpinan negara dan pentadbiran kerajaan yang lebih baik, serta mampu menandingi kejayaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

"Rakyat memiliki dua pilihan apabila tiba waktu pilihan raya umum, sama ada memilih perubahan berterusan supaya menjadi lebih baik atau 'suka-suka' menukar kerajaan.

"Kerajaan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya, sebaliknya memerlukan kesinambungan supaya menjamin masa depan lebih baik," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pusat berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pelancaran Pecah Tanah Jambatan Marudi, di sini, pagi tadi.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Najib ketika mengulas lanjut berkata, BN berupaya menjanjikan masa depan yang jauh lebih baik, termasuk menjamin kesinambungan agenda kemajuan negara dan pemerkasaan sosio-ekonomi rakyat.

"Banyak negara di dunia yang tertipu dengan perkataan 'Ubah'. Misalnya, negara di Afrika Utara seperti Mesir, Algeria dan Tunisia, yang sudah berubah pertadbiran dan kepemimpinannya.

"Ia bukan membawa kebaikan, sebaliknya implikasi perubahan itu turut menjejaskan ekonomi negara berkenaan kepada tahap lebih buruk sekarang sehingga menjejaskan kehidupan rakyat," katanya.

Di Selangor, katanya, sejak negeri berkenaan ditadbir pakatan pembangkang, pelbagai masalah berlaku, terutama isu air yang tidak berkesudahan sehingga rakyat menjadi mangsa.

"Selangor negeri terkaya, namun apalah gunanya jika isu air tidak dapat diselesaikan sehingga kehidupan seharian rakyat terjejas," katanya.

Namun, Najib menegaskan punca kejadian itu perlu diteliti, terutama kesilapan rakyat di negeri berkenaan memilih kerajaan, selain tidak wujud persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor, menyebabkan masalah itu berlarutan.

"Bila Kerajaan Pusat mahu bantu selesaikan isu itu demi kepentingan rakyat, mereka (pembangkang) menjadikannya isu politik untuk menarik perhatian.

"Itu sebab masalah air tidak dapat diselesaikan. Jika BN dapat memerintah Selangor, masalah air pasti akan diselesaikan segera," katanya.

Bagi Sarawak, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan mempunyai pelan induk jangka panjang yang terancang untuk memajukan negeri ini ke tahap lebih baik.

"Lagipun, amat mudah bagi saya berbincang dengan Ketua Menterinya (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg). Sekali Abang Jo (Johari) call (telefon), saya terus datang sini.

"Kadang-kadang tidak perlu call (telefon) pun, saya datang juga ke Sarawak. Ini jelas menunjukkan hubungan baik terjalin antara Kerajaan Pusat dan negeri, sekali gus memudahkan setiap urusan membawa pembangunan untuk Sarawak," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap calon BN untuk Parlimen Baram akan dapat menambah majoriti undi yang lebih besar pada pilihan raya kali ini, sekali gus kekal sebagai kubu kuat BN.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers