Khamis, 19 April 2018

Jangan ‘ugut’ BN, amaran Zahid kepada pemimpin parti komponen

SHARE
BAGAN DATUK, 19 Apr: Sebarang kenyataan berbaur ugutan yang dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak dialu-alukan kerana ia boleh menggugat keharmonian dalam parti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga timbalan Pengerusi BN berkata sebagai pemimpin daripada parti komponen, mereka harus mempunyai pendirian dan menghormati piagam BN sebagai paling utama melebihi keutamaan lain.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden berkata masalah yang ditimbulkan oleh sebuah parti dalam kalangan 13 parti komponen BN harus diselesaikan dengan kadar segera, apatah lagi jika ada pemimpin berkenaan berhasrat untuk bertanding di kerusi yang telah ditentukan untuk rakan daripada komponen yang sama.

“Sudah tentu kepimpinan BN memperkirakan tentang persetujuan terhadap kerusi-kerusi yang tertentu, sama ada ia dipinjamkan buat sementara waktu atau ditukarkan dengan kerusi lain.

“Akan tetapi, jika pemimpin berkenaan mahu terus berkeras, saya yakin akhirnya beliau akan menerima hakikat bahawa kesatuan di dalam BN adalah sesuatu yang harus diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 4, Sungai Sumun di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, adalah lumrah politik pada setiap kali pilihan raya umum masalah sedemikian terjadi dan bukan sahaja kepada BN, malah pihak pembangkang turut mengalami masalah berkenaan.

Justeru, beliau melahirkan keyakinan bahawa Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai formula untuk mengendalikan masalah tersebut selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagaimana yang telah dilaksanakan kerajaan selepas berakhirnya PRU sebelum ini.

Malah, katanya, UMNO pernah berkorban kerusi kepada calon parti komponen BN bertanding pada PRU lepas kerana pucuk pimpinan dan seluruh anggota parti yakin bahawa setiap individu berkenaan diyakini mewakili BN.

“Jadi, kemenangan parti manapun tetap mewakili BN dan melambangkan bahawa mana-mana calon yang bertanding selagi ia berada di dalam komponen BN, maka ia harus disokong oleh semua ahli dan kepimpinan parti,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan Presiden Parti Progresif Penduduk (myPPP) Tan Sri M. Kayveas berhubung calon parti komponen BN yang lain bertanding di Cameron Highlands, Ahmad Zahid berkata isu tersebut akan diselesaikan Najib secara politik.

Kata Ahmad Zahid, beliau memahami tindakan Kayveas itu kerana secara peribadi mengenalinya sebagai seorang yang baik hati dan merasakan apa yang dilakukannya berkemungkinan bagi menjaga hati rakan-rakan dalam kepimpinan dan partinya.

“Saya juga telah bertemu dia dan saya telah nyatakan bahawa ada formula penyelesaian dan (dengan) menjadi calon bukanlah penyelesaian muktamad.

Ada beberapa kaedah untuk memberikan peluang kepada parti berkenaan untuk berada dalam anggota pentadbiran dan juga di dalam badan-badan lain di bawah kerajaan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, pada sebelah pagi, beliau menghadiri Program Sarapan Pagi bersama penduduk setempat di kedai Haji Abdul Malik Arshad pada pukul 9 pagi.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kemudiannya sempat mengadakan tinjauan mesra di beberapa kedai peniaga masyarakat Cina di Simpang Tiga, Rungkup.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers