Thursday, 26 April 2018

Kutipan pemandu teksi Langkawi terjejas, BN atau Dr M untung?

SHARE
KUAH, 26 April — Keluhan kecewa berbaur rasa geram pemandu teksi Langkawi masih terpendam kuat setelah setahun digugat pengusaha Uber dan GrabCar.

Walau enggan melahirkan sikap antikerajaan, setahun selepas demonstrasi antikhidmat teksi internet itu, mereka masih tidak berpuas hati.

Tinjauan ProjekMMO di dua stesen teksi di Kuah jelas menunjukkan pendapatan mereka terjejas akibat gabungan Uber dan GrabCar.

Ada berbaring sampai terlelap, bermain karom atau berbual-bual kosong sementara menunggu pelanggan yang tidak kunjung tiba walau sudah tiga jam.

April tahun lalu, kira-kira 400 daripada 1,300 pemandu teksi di pulau legenda ini mengadakan demonstrasi di Laman Marmar Langkawi.

Seperti pemandu di negeri lain waktu itu, khususnya di Lembah Kelang, mereka menyatakan bantahan walau jarang menunjukkan sikap politik.

Walau tidak jelas menyatakan sikap anti-Barisan Nasional menjelang pilihan raya 9 Mei ini, rata-rata mereka berharap kerajaan menyekat khidmat itu.

Umumnya pemandu merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar perkhidmatan GrabCar, yang sudah membeli Uber, dihentikan di Langkawi.

Selain teksi atas talian, mereka juga terpaksa bersaing dengan pengusaha kereta sapu di empat kawasan tumpuan: jeti utama, lapangan terbang, Pantai Chenang dan kereta kabel di Gunung Mat Cincang.

Mereka hanya bergantung kepada kedatangan pelancong tempatan dan luar kerana penduduk tempatan sudah memiliki kenderaan sendiri.
Pemandu teksi bersantai, berbaring atau berbual, sementara menunggu pelanggan di stesen di Pekan Kuah, Langkawi 25 April 2018.

Di celah-celah rungutan soal kepayahan hidup, mereka bagaimanapun mengelak apabila ditanya sokongan kepada calon-calon yang bertanding di sini.

Penyandang kerusi BN di Langkawi Datuk Nawawi Ahmad berdepan tugas berat apabila dicabar tokoh politik negara Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menang dengan 11,861 undi, ketua bahagian Umno itu bakal dirempuh bekas perdana menteri yang dianggap berjasa memajukan pulau pelancongan itu.

Semua pemandu yang ditemui ProjekMMO enggan mendedahkan nama dan tidak mahu foto mereka dirakam kecuali gambar umum perkhidmatan teksi.

“Kejatuhan pendapatan kami amat ketara, tidak cukup untuk belanja keluarga dan bayar sewa kereta, perbaiki kereta,” kata seorang pemandu.

Pemandu teksi usia 60-an ini bersama syarikat Pengusaha Tuan Empunya dan Pemandu Kereta Sewa Langkawi ditemui di sini jam 11.30 pagi semalam.

Kata-katanya itu disampuk rakannya, juga 60-an, yang masih menunggu giliran sejak 8 pagi di pondok teksi depan sebuah hotel di pekan ini.

“Dahulu [sebelum ada GrabCar] kami bolah buat simpanan RM30 hingga RM40 sehari, tapi kini pun tidak boleh buat simpanan...,” katanya.

“Hendak dapat RM30 atau RM40 pun belum tentu. Jadi kami minta GrabCar ini digunakan di tempat lain, itu saja permintaan kami.”

Membuat perbandingan, pemandu kedua itu berkata sebelum masalah ini mereka meraih pendapatan bersih antara RM70 hingga RM80 sehari.

Pemandu teksi bermain karom sementara menunggu pelanggan di stesen di Pekan Kuah, Langkawi 25 April 2018.

Antara Jun hingga Disember dulu-dulu, apabila ramai pelancong tiba dan menggunakan khidmat teksi biasa, mereka boleh meraih hingga RM150 sehari.

“Sekarang kalau [dapat] RM30, duit itulah untuk anak bersekolah, untuk selenggara kereta tidak lepas,” katanya.

“Kalau ada hutang kereta, tidak boleh nak bayar hutang, kereta kena tarik balik.”

Dulu telefon persatuan di pusat teksi mereka sentiasa berdering dengan permintaan pelanggan, kata pemandu awal tadi, dan mereka selalu sibuk.

“Kami berdepan tekanan emosi, tengok Uber dan Grab [ambil penumpang] depan mata kami. Kami masih sabar kerana terikat dengan undang-undang,” katanya.

Enggan mendedah kecenderungan politiknya, pemandu teksi pertama berkata persatuan mereka tiada masalah dengan BN atau kerajaan.

“Kami minta kepada perdana menteri tolonglah selesaikan masalah kami di Langkawi. Datuk Seri Najib sahaja yang boleh buat kata putus,” katanya.

Rungutan tentang kepayahan hidup mereka juga disuarakan oleh beberapa pemandu teksi di jeti Langkawi yang ditemui di situ semalam.

“Dahulu, satu perjalanan [pergi dan balik] dapat RM100, sentiasa ada penumpang. Sekarang tiada penumpang tahan di tepi-tepi jalan.

“Kalau hantar ke lokasi kereta kabel sejauh 30km, tidak pasti ada penumpang ke sini. Kami balik sini teksi kosong,” katanya.

“GrabCar bagi harga murah daripada teksi, jadi pelanggan cari yang murah.”


Barisan panjang teksi di jeti utama Langkawi yang setia mengharapkan kedatangan pelancong, 25 April 2018.

Berpengalaman membawa teksi sejak 1997 secara sambilan, pemandu usia hujung 50-an itu terpaksa membayar pajakan teksinya RM600 sebulan.

Beliau dan beberapa rakan pemandu melihat kehadiran Dr Mahathir dalam pilihan raya kali ini “boleh membawa perubahan” kepada Langkawi.

“Rakyat di Langkawi akan pilih Tun, kalau-kalau ada perubahan. Saluran dua dan tiga akan pilih Tun,” katanya, walau beliau sendiri enggan mendedahkan sokongannya.

Saluran dua dan tiga merujuk usia pengundi lebih muda, selalunya 50-an ke bawah, sementara saluran satu merujuk mereka yang lanjut usia.

Nawawi, yang dituduh di media sosial terlibat membawa masuk Uber dan GrabCar ke Langkawi, menafikannya malah sanggup bersumpah tidak terbabit.

Menurut Bernama, beliau sudah bertungkus-lumus mencari penyelesaian masalah yang dihadapi 1,300 pemandu yang mengalami penurunan pendapatan.

Minggu lalu beliau menyampaikan kad bantuan bahan api yang mengandungi nilai prabayar RM800 seperti dinikmati pemandu teksi di seluruh negara.

Persaingan Nawawi dan Dr Mahathir akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran calon PAS, usahawan Zubir Ahmad, yang baru diumumkan hari ini.

Dua kerusi negeri di kawasan parlimen ini juga disandang BN. Mereka juga akan menyaksikan persaingan tiga penjuru dengan PAS dan Pakatan Harapan.

BN menang di Ayer Hangat dengan majoriti 5,311 undi, sementara Kuah mendapat majoriti 6,254 undi. Kedua-dua wakil ini akan mempertahankannya.

Langkawi mempunyai 42,697 pengundi berdaftar dengan pecahan kira-kira: Melayu 91 peratus, Cina enam peratus dan India dua peratus.-ProjekMMO
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers