Tuesday, 10 April 2018

‘Lompat parti’? Saya tidak mahu buat spekulasi – Azmin Ali

SHARE
Pakatan Harapan (PH) Selangor dilihat masih sukar memuktamadkan senarai penuh calon yang akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) meskipun tarikh penamaan calon dan pengundian bakal diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata pengagihan kerusi DUN Selangor dijangka dimuktamadkan pada pertengahan Mac atau selewat-lewatnya sebelum pembubaran Parlimen.

Namun ia dilihat terus samar apabila pada Rabu lepas, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus memberi alasan soal pengagihan kerusi akan diselesaikan dalam masa satu atau dua hari lagi.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor ketika ditemui selepas pembubaran DUN hari ini mengakui pihaknya masih belum memuktamadkan agihan kerusi kerana masih membuat saringan calon bagi dua daripada 56 kawasan DUN.

“Kita pertimbang untuk ‘winnable candidate’, jika parti (gabungan PH) boleh meletakkan calon yang lebih diterima masyarakat setempat, mungkin beliau boleh mewakili pakatan bagi dua kawasan tersebut.

“Disebabkan kami akan bertanding menggunakan satu logo iaitu logo PKR, mungkin ia mampu mempercepatkan proses saringan, yang pasti sebelum penamaan calon,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya jika terdapat lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor akan lompat parti menjelang PRU14, timbalan presiden PKR itu berkata sekiranya ada ia pasti dilakukan atas pertimbangan mereka sendiri.

“Saya tak pasti jika ada yang mahu lompat parti sebab saya tidak mahu buat spekulasi, cuma saya yakin keputusan mereka (ADUN), jika ada mahu lompat parti ia dibuat atas alasan tertentu atau mungkin sebab ingin terus menyokong kerajaan negeri,” katanya.

Dalam satu ceramah Pakatan Harapan di Sungai Buloh malam tadi, Mohamed Azmin Ali mengumumkan ADUN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman meninggalkan PAS dan menyertai PKR.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengumumkan pembubaran DUN Selangor berkuat kuasa hari ini susulan pembubaran Dewan Rakyat pada Sabtu lepas bagi membolehkan PRU14 diadakan.

Mandat kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR tamat pada Jun 2018. Sesi persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 21 Jun 2013, selepas PRU13.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers