Wednesday, 18 April 2018

Mahkamah Indonesia perintah bebaskan Equanimity

SHARE
JAKARTA: Mahkamah Indonesia hari ini mendapati tindakan pihak berkuasa negara itu menyita sebuah kapal layar mewah di perairan Bali pada awal Mac lalu, adalah tidak sah.

Justeru itu, Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, Ratmoho, memerintahkan supaya kapal layar Equanimity yang bernilai hampir RM1 bilion terbabit, dikembalikan kepada pemilik asalnya.

Reuters melaporkan, keputusan pengembalian aset itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak berkuasa Indonesia tidak mematuhi prosedur undang-undang ketika membuat sitaan.

"Sitaan itu tidak sah, justeru mahkamah membatalkannya," perintah Ratmoho.

The Straits Times Singapura pula melaporkan, Ratmoho sebagai berkata, pemilik kapal layar terbabit tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah.

"Jika tiada sebarang perlakuan jenayah dibuktikan, aset terbabit tidak boleh disita," katanya.

Ketika diserbu pihak berkuasa Indonesia, kapal mewah yang didaftarkan di Pulau Cayman itu, sedang belayar di perairan Bali bersama 36 kru.

Keputusan mahkamah hari ini dibuat selepas enam minggu kapal itu disita pihak berkuasa Indonesia, yang bertindak atas permohonan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Tindakan DOJ menyita kapal layar mewah 'The Equanimity' dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia, kini dicabar di mahkamah Indonesia dan Amerika Syarikat (AS).

Pada 30 Mac lalu, Equanimity (Cayman) Limited, selaku pemilik sah kapal berkenaan, yang menyifatkan DOJ dan pihak berkuasa Indonesia bertindak melampaui had perundangan negara masing-masing dalam isu terbabit, memfailkan dokumen berkaitan di mahkamah kedua-dua negara bagi membuktikannya.

Pemilik kapal itu mendakwa, DOJ sendiri menangguhkan kes berkaitan aset berkenaan tahun lalu dan tiada langkah diambil membuktikan berlaku sebarang salah laku, namun menyita kapalnya di Indonesia, sedangkan perintah penangguhan yang dikeluarkan mahkamah berhubung kes itu masih sah. - Agensi
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers