Sunday, 8 April 2018

Manifesto Terbaik Jangan Tolak BN

SHARE
KUALA LUMPUR: Keterangkuman manifesto Barisan Nasional (BN) diharap menjadi sandaran untuk pengundi terus memberikan mandat bagi mentadbir negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Pengerusi BN berkata, inti pati aku janji yang terkandung dalam dokumen setebal 262 muka surat itu adalah yang terbaik dan bersifat paling menyeluruh pernah dihasilkan.

Berteraskan 14 tema utama, katanya, ia menyentuh denyut nadi segenap lapisan masyarakat di negara ini yang sering dahagakan limpahan kesan pembangunan.

"Saya terbabit secara langsung dalam mempengerusikan mesyuarat manifesto ini dan di peringkat akhir, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Ketua Komunikasi Strategik BN) diberikan tanggungjawab memperincikannya.

"Ia adalah manifesto yang paling komprehensif, selain mengandungi tidak kurang daripada 392 inisiatif, membabitkan kebajikan semua susun lapis masyarakat.

"Mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah turut diberi bantuan secara langsung," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Manifesto BN, di Stadium Axiata Arena, di sini, malam ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata manifesto yang mengandungi pelbagai tawaran berkenaan tidak sewajarnya ditolak oleh rakyat Malaysia.

Sebaliknya, katanya, lebih 14.9 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sepatutnya menggunakan pengukur pencapaian manifesto BN terdahulu yang menyaksikan 99.4 peratus berupaya dikotakan.

"Kalau ambil peperiksaan, ia (keputusan pelaksanaan manifesto BN) adalah A1," katanya.

Susulan 2018 sebagai tahun memperkasakan peranan wanita, Ahmad Zahid berkata, ia diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif yang digarap untuk mengangkat martabat golongan itu berkenaan.

Selain itu, katanya, manifesto BN memberi tumpuan terperinci terhadap secara keseluruhan, 14 kumpulan, termasuk belia yang sering melontarkan keinginan supaya kehendak mereka didengari.

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers