Jumaat, 20 April 2018

MCA tekad bangkit tebus kekalahan PRU13 – Chong

SHARE
SEREMBAN, 20 Apr: MCA bertekad untuk bangkit kembali memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini selepas merekodkan prestasi hambar pada PRU13 yang lepas.

Pada PRU13, MCA hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 90 kerusi yang ditandingi.

Diperlekehkan pembangkang kononnya MCA tidak lagi relevan untuk membawa aspirasi dan harapan rakyat, khususnya masyarakat Cina di negara ini, ia lantas dijadikan pembakar semangat pasukan di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk terus berusaha keras bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon dalam temu bual bersama Bernama mengakui faktor permasalahan dalaman MCA sebelum ini menyebabkan ramai masyarakat Cina mula berpaling daripada parti itu.

“Sebelum ini kalau melihat dari 2008 hingga 2013, dah berapa kali kita mengadakan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa) sampai masyarakat Cina dah tak mahu lihat berita-berita berkaitan MCA. Tetapi selepas tiga tahun di bawah Datuk Seri Liow, tidak ada lagi pasukan A, B dan tiada lagi EGM yang dipanggil untuk menjatuhkan mana-mana pihak,” katanya.

Pada PRU13, slogan ‘Inikalilah’ yang dimainkan pembangkang khususnya DAP kata Chong, berjaya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Cina, sehingga mereka percaya mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut mengenai PRU13, Chong berkata MCA mengambil penuh iktibar dan kini berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat umum.

“Masyarakat Cina ada sekumpulan yang dah tidak boleh percaya adanya peluang untuk menukar kerajaan. Ramai juga menyatakan ahli pembangkang tidak melaksanakan tugas sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen dengan baik dalam lima tahun yang lepas. Jadi pada pandangan saya, sokongan mereka kepada pembangkang tidak mungkin akan kembali kepada tahap peratusan yang begitu tinggi kali ini,” katanya.

Mengenai sokongan masyarakat kini kepada MCA, Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata kesatuan yang jitu ditonjolkan pimpinan parti telah memberi impak positif kepada pola sokongan masyarakat.

“Pada masa yang sama kita juga lihat NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Cina telah kembali bersama MCA. Sebelum ini, NGO-NGO itu tidak mahu dilihat bersama MCA tetapi di bawah pimpinan Datuk Seri Liow, dialog dan program tahunan yang dianjurkan MCA telah mendapat sambutan yang hangat daripada mereka.

“Jadi ini semua adalah tanda-tanda bahawa kita mula mendapat semula sokongan rakyat. Saya tak boleh menyatakan majoriti Cina telah kembali kepada MCA atau BN, tapi kalau bandingkan dengan PRU yang lepas keadaannya jauh lebih baik hari ini,” katanya.

Chong berkata MCA juga berazam untuk mengembalikan zaman kegemilangan parti itu, yang kini telah menjangkau usia 68 tahun pada PRU14, untuk kekal menjadi wadah perjuangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Parti berazam untuk meraih sekurang-kurangnya 15 atau 20 kerusi Parlimen pada PRU14 ini.

Jangkaan MCA, kita tak mahu letakkan satu sasaran yang tidak boleh dicapai tetapi kita mahu kembali kepada sekurang-kurangnya 15 ke 20 kerusi Parlimen.

“Bagaimanapun, sasaran itu hanya akan dapat direalisasikan sekiranya parti meletakkan ‘winnable candidates’ (calon boleh menang) dan melaksanakan siri kempen yang betul,” katanya.

Chong yang juga dikatakan calon BN bagi Parlimen Seremban berkata MCA kini mengambil sikap proaktif dengan menentukan calon lebih awal bagi memudahkan calon berkenaan melakukan gerak kerja.

“Kita boleh memberitahu kepada pengundi kawasan tersebut inilah calon kita. Kita akan menamakan lebih ramai calon yang baharu dan muda untuk memberikan pilihan yang baharu kepada pengundi kita.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan pusat kerana memberi peluang kepada lebih ramai calon muda, baik lelaki mahupun wanita supaya boleh membawa imej baharu MCA kepada masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Chong dalam pada itu berazam untuk menghadiahkan kerusi Parlimen Seremban kepada BN pada PRU14.- Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers