Rabu, 4 April 2018

Mengapa Benci Dan Takut Ilmu Kalam Di Abad Ke-21?

SHARE
Abad ke 21 ini adalah lanjutan dari abad yang lalu yang dinamakan Era Globalisasi dan Teknologi Komunikasi. Abad-abad ini dinamakan juga Abad Ledakan Maklumat kerana melalui globalisasi dan teknologi komunikasi, umat manusia khususnya umat Islam dibanjiri dan dilambakkan dengan segala bentuk maklumat pada setiap waktu 24 jam 7 hari.

Setiap ketika umat Islam dilanggani atau melanggani pelbagai maklumat benar dan palsu, syak dan zan juga kelabu dan keliru. Maklumat-maklumat picisan ini lama kelamaan akan menjadi pukal dan datang sebagai pakej aliran dan faham pemikiran, ideologi dan isme, juga sebagai akidah dan pegangan alternatif bagi umat Islam.

Atheisme, Agnostikisme, Anarkisme, Sekularisme, Pluralisme, Liberalisme, Kapitalisme, Materialisme, Sosialisme, Neo-Mujassimah, Neo-Muktazilah, Neo-Khawarij, Pseudo-Salafi, Wahhabi, Shiah, semuanya ini contoh-contoh aliran dan faham pemikiran, ideologi dan isme, juga akidah dan pegangan alternatif bagi umat Islam yang datang dari luar dan dalam Islam.

Kesemua aliran akidah dan pemikiran ini perlu diperjelaskan kepada umat Islam bagi memelihara kesucian dan kemurniaan akidah Islam yang sepatutnya mereka miliki bertepatan dengan akidah dan pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kepada sesiapa yang tahu dan faham tradisi keilmuan Islam, mereka akan mendapati kesemua aliran, faham, isme, ideologi, akidah dan pemikiran yang pelbagai ini ditangani oleh Ilmu Kalam bukan Ilmu Hadis mahupun Ilmu Fekah ataupun Ilmu Tasawwuf.

Tradisi keilmuan Islam sejak zaman berzaman yang dikembangkan berdasarkan hadis Jibril AS Iman-Islam-Ihsan; dengan Iman yang meliputi hal-hal akidah dan pemikiran dibicarakan dalam Ilmu Kalam yang bersifat nazari (penta’qulan/tasdiq); dengan Islam yang meliputi hal-hal ibadah dan muamalat dibicarakan dalam Ilmu Fekah yang bersifat amali (ahkam zahiri); dan dengan Ihsan yang meliputi hal-hal keikhlasan atau pembersihan jiwa dan rohani yang dibicarakan dalam Ilmu Tasawwuf yang bersifat qalbi (tazkiah nafs), telah berjaya membentuk satu kefahaman dan penghayatan Islam yang sangat sistematik, mempunyai disiplin dan ketertiban ilmiyyah yang tinggi.

Disiplin dan tertib keilmuan Iman-Islam-Ihsan sebagai Kalam-Fekah-Tasawwuf ini telah menghasilkan para ulama Mutakallimun, Fukaha dan Sufi yang berupaya membentuk kemantapan, kestabilan dan kesinambungan kefahaman dan penghayatan Islam untuk umat secara holistik dan menyeluruh meliputi setiap dimensi keinsanan mereka aqliyyah, amaliyyah dan ruhaniyyah. Berdasarkan pembahagian disiplin ilmiyyah Kalam-akidah, Fekah-amalan dan Tasawwuf-ruhani ini, jelas disiplin ilmu mana bertanggungjawab untuk menangani isu-isu dan hal-hal yang berkaitan dengan kefahaman dan penghayatan Islam. Para ulama Mutakallimun, Fukaha dan Sufi dalam setiap disiplin ilmu masing-masing ini kemudiannya menjadi lebih fokus dalam memperincikan kefahaman dan penghayatan umat Islam sehingga terbitlah mazhab atau aliran akidah misalnya Kalam Asha’irah dan Maturidiyyah, mazhab atau aliran fekah Imam-Imam yang empat Hanafi, Maliki, Shafi’e dan Hanbali juga mazhab dan aliran tasawwuf yang pelbagai yang masyhur seperti Imam-Imam Junayd, Ghazzali, Qadir Jilani, Ibn Arabi, Rumi juga tarikat seperti Qadiriyyah, Naqshabandiyyah, Shadhiliyyah dan lain-lain lagi.

Inilah tradisi utama dan perdana Ahli Sunnah Wal Jamaah yang perlu dipelihara sehingga ke hari ini. Setelah kita memahami pengkhususan tradisi Iman-Kalam-Nazari, Islam-Fekah-Amali dan Ihsan-Tasawwuf-Qalbi ini, maka tidak dapat tidak hal-hal berkaitan dengan akidah, pemikiran, kepercayaan, pandangan hidup, akliah mestilah dirujuk kepada disiplin Ilmu Kalam untuk mendapatkan penjelasan dan penghuraian lanjut. Malah inilah matlamat dan tujuan Ilmu Kalam iaitu dengan kedua-dua dalil naqli (wahyu/al-Qur’an dan al-Sunnah) dan aqli (pemikiran dan pemerhatian) 1) menjelas dan mengukuhkan keyakinan terhadap Rukun Iman atau Pokok-Pokok Akidah, 2) membasmi dan memberantas keraguan dari syubhat atau faham-faham yang bertentangan dengan Rukun Iman dan Pokok-Pokok Akidah dan 3) membuktikan secara sistematik dan analitik hakikat-hakikat Rukun Iman dan Pokok-Pokok Akidah secara Nazariyyah atau Aqliah atau Penta’qulan yang kemudiannya akan mencorakkan manhaj atau metodologi pemikiran umat Islam dalam menjalani pelbagai dimensi kehidupan.

Justeru Ilmu Kalam memiliki paling kurang tiga faedah bagi umat Islam iaitu 1)mengukuhkan keyakinan keimanan, 2)menghapuskan keraguan akidah dan kekeliruan pemikiran dan 3)memandu kaedah berfikir dan kreativiti umat dalam membina kehidupan dan peradaban Islam. Jika kita meneliti ketiga-tiga peranan disiplin Ilmu Kalam ini yang telah lebih 1000 tahun menjadi pegangan dan panduan khusus bagi umat Islam dalam memelihara, mempertahan dan mengembangkan akidah dan pemikiran umat Islam, maka kebencian dan ketakutan serta fitnah yang dilemparkan kepada Ilmu Kalam dan Para Mutakallimun sangat tidak berasas malah akan menyebabkan kerugian besar bagi umat Islam seperti yang kita saksikan pada hari ini.

Hari ini umat Islam sedang mengalami krisis akidah dan pemikiran yang sangat serius akibat ketidakupayaan mereka menangani kebanjiran dan lambakan idea dan pemikiran yang bertentangan dengan akidah dan pemikiran Islam. Oleh kerana momokan dan usaha memburuk-burukkan Ilmu Kalam begitu hebat dilakukan oleh pihak-pihak tertentu pada Abad ke 20 yang lalu, maka umat Islam juga para ulamanya hilang daya berfikir dan berkreativiti yang tinggi dalam menjelas dan mempertahankan akidah dan pemikiran Islam bila berdepan dengan idea, isme dan ideologi serba rencam yang melanda umat manusia pada hari ini.

Setiap disiplin ilmu ada keterbatasan mereka dalam menanggap sesuatu persoalan, Ilmu Fekah menumpukan kepada soal-soal hukum-hakam amal ibadah dan muamalat dalam pengertiannya yang luas, Ilmu Tasawwuf menumpukan kepada soal-soal penyucian dan peningkatan diri ruhani, keikhlasan dan ketaqwaan kepada Sang Pencipta. Ilmu Kalam menumpukan kepada penegasan keyakinan, penghapusan keraguan dan penghasilan anugerah akal bertepatan dengan akidah dan pemikiran Islam. Meskipun dalam hal-hal tertentu terdapat pertindanan antara ilmu-ilmu ini selari dengan tabi’at dan sifat Kesatuan Ilmu Islam secara disiplin dan tertib ilmu para ulama Fekah, Tasawwuf dan Kalam memahami skop dan cakupan ilmu masing-masing.

Malah dalam banyak hal ramai dikalangan mereka menguasai lebih dari satu disiplin-disiplin utama Islam ini. Persoalan saling memerlukan antara disiplin dan saling menghormati dan saling meraikan adalah sebahagian dari tradisi keilmuan Islam yang penting untuk diketahui dan dihayati oleh umat Islam pada hari ini. Akibat dari momokan kebencian dan ketakutan terhadap Ilmu Kalam dan Para Mutakallimun, maka hari ini para ulama dan umat Islam tidak bersedia dan terkapai-kapai mencari jalan bagaimana menghadapi hujah-hujah Atheisme, Agnostikisme, Anarkisme, Sekularisme, Pluralisme, Liberalisme, Kapitalisme, Materialisme, Sosialisme, Neo-Mujassimah, Neo-Muktazilah, Neo-Khawarij, Pseudo-Salafi, Wahhabi, Shiah dan pelbagai lagi idea, isme dan ideologi yang bakal muncul.

Bagaimana pula dengan PascaModenisme dan PascaKebenaran (Post-Truth) atau PascaFakta (Post-Fact) yang sedang berkembang di dunia globalisasi dan teknologi komunikasi semasa? Bagaimana dengan generasi muda umat Islam yang berminat untuk menyertai ISIS/DAESH dan gerakan Ekstremisme dan Terrorisme atas nama Islam? Bagaimana pula dengan Ilmu-Ilmu Sains Moden, Sains Fizikal dan Sains Sosial yang sarat dengan nilai-nilai sekularisme, relativisme, Darwinisme dan Materialisme yang sedang dipelajari oleh ratusan ribu anak-anak muslim? Tanpa disiplin Ilmu Kalam, disiplin ilmu apakah yang berupaya menggarap, menangani dan menjawab kesemua persoalan akidah dan pemikiran semasa yang sedang meresap dan menyerap segenap darah-daging dan tulang-belulang umat pada Abad ke 21 ini? Dr Amran Muhammad Ketua Eksekutif Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam (NARATIF NUSANTARA SIRI 37)

Read more at: https://www.menara.my/mengapa-benci-dan-takut-ilmu-kalam-di-abad-ke-21/
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers