Friday, 6 April 2018

MyPPP Tetap Mahukan Kerusi Cameron Highlands

SHARE
PUTRAJAYA: Presiden MyPPP, Tan Sri Dr M Kayveas tetap dengan pendiriannya bahawa parti itu patut diberikan mandat bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun ia kerusi tradisi MIC.

Beliau berkata, selama kerusi itu 'ditinggalkan' penyandangnya, Datuk Seri G Palanivel yang juga bekas Presiden MIC, beliau turun padang bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan oleh Barisan Nasional (BN) kepada rakyat di kawasan itu.

"Hanya kita (MyPPP) yang bekerja (untuk rakyat di sana) selama ini. Jadi, lebih baik kita bertanding, kenapa perlu bagi orang lain (bertanding).

"Saya berpegang kepada prinsip yang dijunjung Barisan Nasional (BN) bahawa calon yang disukai rakyat, calon boleh menang, rajin turun ke akar umbi yang akan dipilih. Apapun, segala keputusan di tangan pucuk pimpinan tertinggi BN, kita tunggu saja dan bersiap sedia," katanya ketika dihubungi NSTP.

Kayveas mengulas persediaan MyPPP untuk menghadapi PRU-14, susulan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berkuat kuasa esok.

Beliau berkata, MyPPP akan memuktamadkan kerusi dan calon yang akan bertanding pada PRU-14 selewat-lewatnya minggu depan.

"Kita juga berharap dapat bertanding lagi di kerusi sama pada PRU-13 iaitu lima kerusi membabitkan empat DUN dan satu Parlimen, tetapi kita tidak kisah jika berlaku pertukaran kerusi antara parti komponen BN yang lain dengan MyPPP kerana kita mementingkan semangat setia kawan dalam BN," katanya.

Sebelum ini, MIC dilaporkan turut mengintai kerusi Cameron Highlands pada PRU-14. Pada PRU-13, MIC bertanding kerusi Cameron Highlands diwakili Palanivel yang kemudian mengumumkan keluar BN dan menjadi calon bebas.

Pada PRU-13, MyPPP bertanding di lima kerusi iaitu empat DUN dan satu Parlimen iaitu Parlimen Kepong, dan empat kerusi DUN, masing-masing satu di Kota Laksamana (Melaka); Kota Alam Shah (Selangor); Pasir Bedamar (Perak) dan Manik Urai (Kelantan).

Bagaimanapun, parti itu tewas di semua kerusi berkenaan.-Berita Harian
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers