Friday, 6 April 2018

Najib ‘penggerak utama’ tangani isu yang ‘menghimpit’ masyarakat India

SHARE
PUTRAJAYA, 6 Apr: Tanggal 3 April, 2018 lepas genap sembilan tahun Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju pentadbiran negara.

Sejak tarikh keramat itu, pemimpin yang berusia 64 tahun dan berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini begitu komited untuk memacu Malaysia ke tahap pembangunan yang lebih cemerlang.

Meskipun ada keputusan yang dibuat kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinannya yang tidak selalu disenangi segelintir rakyat, ianya dibuat demi kebaikan negara ini.

Apabila Najib mengumumkan pelbagai “hadiah” untuk pelbagai pihak, pihak pembangkang lantang mendakwa semuanya itu untuk memancing undi.

Berbanding perdana menteri sebelum ini, tidak boleh disangkal banyak yang telah dilakukan Najib untuk merubah serta meningkatkan tahap sosio-ekonomi semua kaum terutamanya masyarakat India negara ini.

Penganalisis politik berkata mereka melihat Najib adalah satu-satunya perdana menteri Malaysia yang mengambil berat akan kepentingan masyarakat India dalam menyelesaikan pelbagai isu untuk memastikan mereka tidak terpinggir atau ketinggalan daripada arus pembangunan negara.



GELOMBANG BARU KEYAKINAN UNTUK MASYARAKAT INDIA

Pemerhati politik yang tidak asing lagi, Datuk Anbumani Balan menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang mengotakan janji serta mencetus gelombang baru keyakinan dalam kalangan masyarakat India hasil sikap keterbukaannya dengan kaum berkenaan daripada peringkat pemimpin sehingga ke akar umbi malah rakyat biasa.

Sumbangannya yang tidak putus-putus kepada kaum India meninggalkan kesan besar dalam jiwa dan raga masyarakat India.

Menurut Anbumani, semuanya itu menjadikan kepimpinan perdana menteri mencetus “puthiya nambikei” (kepercayaan baru) dalam masyarakat India.

Bercakap kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini, Anbumani berkata Najib memainkan peranan penting sebagai ‘penggerak utama’ untuk menangani pelbagai isu yang menghimpit kehidupan masyarakat India melalui dasar yang terancang iaitu Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“PM Najib membuktikan beliau seorang pemimpin yang berkebolehan yang diperlukan masyarakat India, “katanya.

Anbumani menambah tanpa sebarang keraguan Najib telah mewujudkan satu gelombang baru transformasi nasional yang mengambil kira kepentingan semua kaum terutamanya menangani permasalahan yang masih menghimpit kehidupan masyarakat India yang dipinggirkan sewaktu era Tun Dr Mahathir Mohamed.


Datuk Anbumani Balan


UTAMAKAN MASYARAKAT INDIA TERUTAMA KEPERLUAN B40

Seorang lagi penganalisis politik terkemuka, Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata buat pertama kali isu kaum India mendapat perhatian Najib menerusi penubuhan Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (Sedic) untuk meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat India, terutamanya mereka dari kumpulan B40.

“Saya percaya sokongan masyarakat India sedikit sebanyak sama seperti 2013 dan jauh lebih baik daripada 2008. Kerusi di kawasan kampung masih akan memihak kepada BN memandangkan Najib sering turun padang bertemu dengan masyarakat India. Tambahan, Perdana Menteri telah mengotakan janji yang dibuat kepada masyarakat India, “ pensyarah pengajian sains sosial itu memberitahu Bernama baru-baru ini.

Menurut Prof Sivamurugan tidak ada perdana menteri sebelum ini termasuk Tun Mahathir, yang kini sibuk bertemu dengan masyarakat India, menyusun pelan tindakan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi terdiri daripada ibu tunggal, pelajar tercicir, belia menganggur dan kumpulan yang tidak mempunyai akses kepada peluang perniagaan.

Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata Najib dan BN sentiasa bersedia menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat India supaya mereka boleh keluar daripada kepompong kehidupan yang sukar dan boleh berdikari.

“Sejak Najib mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2009, banyak inisiatif digerakkan untuk membantu serta meningkatkan taraf kehidupan masyarakat India, “ tambahnya.

Prof Dr Sivamurugan Pandian



KAUM INDIA TERUS YAKIN DENGAN BN

Seorang lagi penganalisis politik dari Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamad berkata sebab mengapa Najib meminta masyarakat India terus memberi kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan BN kerana sebagai perdana menteri beliau tahu beliau boleh melakukan lebih banyak untuk rakyuat Malaysia sekiranya beliau kekal berkuasa untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kini adalah masanya untuk masyarakat India membalas kepercayaan itu dan mengundi BN. Beliau sering memberitahu mereka supaya terus memberi kepercayaan kepada beliau agar beliau dapat mengadakan lebih banyak program untuk membantu mereka seterusnya.

“Bagaimanapun, Najib perlu memperkasakan lagi golongan wanita dan belia, sebagai contoh meletakkan lebih ramai calon India bertanding untuk PRU14 atau menyediakan jawatan menteri atau timbalan menteri atau jawatan kanan dalam kerajaan.

“Di samping kepercayaan, proses memperkasakan itu amat diperlukan supaya kepercayaan antara pemimpin dan rakyat dapat diperkukuhkan, “ tambahnya.

Sementara itu, Anbumani berkata keprihatinan Najib terhadap masyarakat India akan memainkan peranan penting dalam PRU14, terutama dalam pemilihan calon mewakili masyarakat India dalam kerajaan dan di Parlimen.

“Seperti yang dinyatakan sesetengah pihak perdana menteri ‘bapa pembangunan masyarakat India’, sudah sampai masanya untuk Najib memperkasa serta melantik pemimpin yang lebih berkebolehan untuk menyandang jawatan kanan dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta beberapa orang pemimpin India yang kuat sebagai anggota kelab penyokong kerajaan di Parlimen,“ katanya.

Anbumani menyeru masyarakat India supaya terus memberi kepercayaan kepada kepimpinan perdana menteri dan BN bagi membina masa depan yang lebih baik untuk mereka.– Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers