Ahad, 15 April 2018

Nik Omar Tidak Akan Sertai PAN – Nik Abduh

SHARE
Keluarga bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan seorang anggota keluarganya akan menyertai parti serpihan PAS iaitu PAN.

Menurut Nik Mohamad Abduh, abangnya, Nik Omar kekal istiqamah bersama PAS dan tiada sebarang rundingan diadakan untuk memujuk beliau menyertai PAN.

“Tidak akan berlaku (Nik Omar) menyertai AMANAH (PAN). Tiada rundingan mengenainya, keluarga kami menafikannya. Dakwaan itu hanya propaganda untuk pecah-belahkan rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita di Pasir Mas hari ini.

Semalam, Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah berkata, Nik Omar bakal calon Menteri Besar Kelantan sekiranya beliau menyertai PAN dan parti itu dipilih untuk menjadi kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Kata Wan Abd. Rahim, anak kedua Allahyarham Nik Abdul Aziz itu mampu menyambung legasi ayahandanya di negeri itu.

Malah, beliau menegaskan, khabar angin mengenai Nik Omar bakal menyertai PAN sebelum ini adalah benar dan ia akan dimuktamadkan hari ini.

“Berita itu betul dan esok (hari ini) kita akan memberikan jawapan muktamad. Ini kerana, fikrah dan pemikiran beliau sudah selari dengan kita, namun ada masalah teknikal berkaitan keluarga yang sedang diselesaikan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Nik Omar sebelum ini kelihatan lebih terbuka dan pernah dilihat bersama-sama pemimpin PAN dalam majlis tertentu.

Sementara itu, Nik Abduh enggan mengesahkan mengenai kedudukannya sama ada kekal bertanding di parlimen atau sebaliknya.

“Tentang pencalonan, saya tak mahu ulas sebab adat dalam jemaah, tak molek. Kita kena serah kepada pimpinan,” katanya yang menyandang kerusi parlimen Pasir Mas. – 14 April 2018.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers