Sunday, 15 April 2018

NS, Kelantan terikat di Paroi

SHARE
SEREMBAN: Negeri Sembilan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 bertemu Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Skuad Hoben Jang Hoben yang turun dengan misi wajib menang menceriakan hampir 4,000 penyokong apabila pemain sayap kiri, Flavio Beck Junior menjaringkan gol pertama hasil hantaran silang, Muhammad Fakrul Aiman Sidid pada minit ketujuh.

Selang seminit, pasukan tuan rumah hampir menambah gol kedua namun rembatan Nicholas Leandro Velez berjaya ditepis penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh.

Pasukan pelawat berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-14 namun sepakan dari luar kotak penalti oleh Donghyun Do melewati palang gol.

Pada minit ke-20, Nicholas Leandro yang berdepan satu lawan satu dengan Mohammad Fikri mensia-siakan peluang apabila sepakannya berjaya ditepis penjaga gol pelawat.

Kelantan berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-23 namun percubaan Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi sempat ditampan keluar Mohammad Fikri.

Menyaksikan asakan berterusan pihak lawan, jurulatih Negeri Sembilan Mohd Azraai Khor Abdullah mengeluarkan Muhammad Fakrul dan memasukkan penyerang sensasi, N Thanabalan pada minit ke-31.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus menguasai perlawanan menerusi jentera serangan yang diketuai Mohammad Ghaddar namun pengalaman dimiliki penjaga gol, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman memastikan Negeri Sembilan kekal di hadapan.

Pada minit ke-68, Flavio berpeluang meraikan gol kedua namun bola yang terbias dari kaki pertahanan Kelantan gagal disempurnakan pemain itu.

Kelantan sekali lagi mendapat peluang keemasan menjaringkan gol penyamaan tetapi sepakan Mohamad Ghaddar diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan.

Ketika tuan rumah hampir memungut tiga mata penuh, kelekaan bahagian benteng pertahanan Negeri Sembilan membolehkan pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat meledak gol penyamaan pada minit ke-90.

Dua pasukan di kelompok tercorot liga itu terpaksa akur sekadar mengutip satu mata sekali gus kekal di tangga tercorot Liga Super.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers